Khamis, 30 Ogos 2012

KONSEP DAN JENIS-JENIS TINGKAH LAKU BERMASALAH


1.0  PENGENALAN

1.1  Definisi Tingkah laku

Tingkah laku adalah apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh seseorang individu. Tingkah laku juga semua tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur dan dinilai dan sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Tingkah laku adalah manifestasi fizikal sebarang sikap yang berasaskan nilai-nilai tertentu. Menurut Lewis M.Beaker (2001), sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar.
Manakala, menurut Garry Martin dan Joseph Pear (2003),  tingkah laku juga merangkumi aktiviti, aksi, prestasi, bertindakbalas, tindakan, dan reaksi dari segi teknik, aktiviti yang melibatkan otot-otot, kelenjar (glandular) dan aktiviti elektrik oleh setiap organ. Pada dasarnya tingkah laku adalah apa sahaja yang diperkatakan atau dilakukan oleh individu. Carl Rogers (1999), menekankan bahawa seseorang individu bertingkah laku mengikut persepsi diri sendiri dan keadaan. Sekiranya individu itu mempunyai konsep kendiri yang positif maka dia berupaya berinteraksi dan bertindak dengan lebih yakin. Menurut Al-Ghazali pula dari perspektif Islam, tingkah laku manusia mempunyai tujuan agama dan kemanusiaan.Tingkah laku normal dan tidak normal adalah berdasarkan kepada kekerapan dan berlaku sepanjang masa dan mempunyai masalah psikologi.
Masalah tingkah laku atau tingkah laku bermasalah pula merupakan tingkah laku yang tidak normal, iaitu abnormal behavior dalam bahasa Inggeris. Ia boleh ditakrifkan terkeluar dari nilai dan norma social masyarakat, termasuk sekolah. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat. Berdasarkan kajian dan pemerhatian, tingkah laku bermasalah yang tertimbul adalah kerana kekurangan keupayaan individu dalam proses adaptasi atau pun akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran.  Akibatnya, ia mengganggu emosi dan aktiviti kehidupan individu yang terlibat dan seterusnya mengganggu pula keharmonian alam persekitaran semasa proses interaksi berlaku. Mohd. Nazar Mohamad (1990) mentakrifkan tingkah laku bermasalah seseorang individu sebagai tingkah laku yang mengganggu perjalanan kehidupannya. Di bawah konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah tingkah laku murid yang boleh menjejaskan kelicinan ataupun keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, khasnya di dalam bilik darjah.
Tingkah laku bermasalah ialah merujuk kepada sebarang tingkah laku sama ada positif ataupun negatif yang menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Tingkah laku terbahagi kepada dua iaitu tingkah laku positif dan tingkah laku negatif. Tingkah laku positif terbahagi kepada empat iaitu sikap ingin tahu, cepat belajar, proaktif dan pintar cerdas. Manakala tingkah laku negatif pula terbahagi kepada tiga iaitu tingkah laku distruktif, distruptif dan sikap bergantung.  Sama ada mewarisi tingkah laku bermasalah positif atau negatif, jika berlaku ia akan menjejaskan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru harus peka dan berempati terhadap muridnya yang mempunyai tingkah laku bermasalah supaya menentu dan melaksanakan strategi dan teknik yang sesuai untuk memodifikasikan tingkah laku mereka yang tidak diingini demi menjaga iklim bilik darjah yang konduksif dan mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

2.0 FAKTOR YANG MENYEBABKAN MASALAH TINGKAH LAKU
          Tingkah laku negatif biasanya dipengaruhi oleh keadaan persekitaran rumah seperti tidak dapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Faktor seterusnya adalah persekitaran sekolah seperti kurikulum terlalu padat dan berfokus pada peperiksaan. Murid akan rasa tertekan dan menunjukkan tingkah laku bermasalah disusuli dengan strategi pengajaran dan pembelajaran yang membosankan, tidak menarik perhatian dan tidka mempunyai objektif yang jelas. Faktor ini menyebabkan wujudnya murid bermasalah. Seterusnya keadaan fizikal sekoalah yang padat, panas dan bising menyebabkan murid menunjukkan tingkah laku yang negatif. 

3.0 TINGKAH LAKU BERMASALAH
3.1 Ciri-ciri  dan jenis-jenis Tingkah Laku Bermasalah
Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Kajian terhadap masalah murid sekolah ini membawa kepada dua pecahan utama tingkah laku murid bermasalah iaitu, positif dan negatif. Tingkah laku bermasalah positif yang dikenal pasti seperti perlakuan ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif. Manakala untuk tingkah laku bermasalah negatif pula ialah perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan.Sama ada seseorang murid itu mempunyai masalah bertingkah laku positif dan negatif, ia akan membawa kesan yang tidak baik dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Oleh yang demikian, guru haruslah mengambil tahu dan segera merancang dan melaksana strategi dan tindakan yang sesuai untuk mengubah tingkah laku yang negatif itu. Hal ini sangat penting demi menjamin dan mengawal keadaan bilik darjah yang kondusif dan mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Secara umumnya masalah tingkah laku atau disiplin bagi murid-murid masalah pembelajaran mempunyai ciri-ciri tertentu. Antara ciri-ciri yang ada pada murid-murid yang bermasalah tingkah laku ialah penumpuan yang singkat, memencil dan menarik diri daripada aktiviti kelas, terlalu bergantung kepada seseorang, tidak mesra dengan guru dan orang lain, gopoh dan tidak sabar, motivasi kendiri rendah, agresif, melanggar perintah, sentiasa mempunyai perasaan negative, memberi jawapan sesuka hati, kurang kemahiran mengawal emosi, perlakuan hiperaktif dan sering resah serta kurang kepercayaan terhadap kebolehan diri.Masalah tersebut secara umumnya telah dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antara faktor yang mempengaruhi pengurusan tingkah laku dan disiplin di dalam kelas seperti kedudukan tempat duduk murid yang jauh dari guru. Susun atur peralatan seperti meja, kerusi, almari memainkan peranan penting dalam mewujudkan kelas yang kondusif dan mempunyai ruang untuk murid dan guru bergerak. Selain itu, alat bahan mengajar yang dipamerkan hendaklah sentiasa ditukar.

 Rajah 1: Jenis-jenis tingkah laku bermasalah

3.1.1 Tingkah Laku Positif 
Tingkah laku positif merupakan tingkah laku kanak-kanak merupakan tingkah laku yang baik untuk perkembangan mereka kerana dengan adanya tingkah laku ini, kanak-kanak akan lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sikap ingin tahu kanak-kanak akan membantu guru dalam meransang pemikiran kanak-kanak dan penting dalam perkembangan kognitif mereka. Dengan sikap ingin tahu kanak-kanak ini, guru dapat membina aktiviti yang lebih melibatkan penerokaan kerana pada tahap ini, kanak-kanak akan suka pada aktiviti seperti ini.   
Kanak-kanak yang cepat belajar juga merupakan tingkah laku yang positif kerana akan memudahkan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini kerana, guru tidak perlu melakukan proses pemulihan sekiranya kanak-kanak cepat belajar. Guru Cuma perlu fikirkan aktiviti pengayaan uantuk kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang proaktif juga merupakan tingkah laku positif. Kanak-kanak proaktif berbeza dengan kanak-kanak hyperaktif. Ini kerana kanak-kanak proaktif merupakan kanak-kanak yang suka melibatkan diri pada aktiviti, suka bermain dan lebih mudah dikawal oleh guru. Kanak-kanak pintar cerdas jarang dijumpai namun jika terdapat kanak-kanak seperti ini, guru harus pandai memberikan aktiviti yang menarik agar mereka tidak mudah bosan. 

Tingkah laku bermasalah positif merangkumi :-
  • Tingkah laku ingin tahu – sikap ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu perkara yang dilihat
  • Tingkah laku cepat belajar – cepat menangkap atau ‘ catch up ‘ sesuatu perkara yang baru dipelajari, dapat mempelajari sesuatu yang baru dengan cepat
  • Tingkah laku pintar cerdas – sentiasa cepat dan pantas apabila menggunakan otak dan berfikir
  • Tingkah laku proaktif – sentiasa menunjukkan kesungguhan atau sikap maju ke depan berbanding kawan-kawan yang lain

          3.1.2 Tingkah Laku Negatif 
Tingkah laku negatif pula merupakan tingkah laku yang mampu memberikan masalah dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini kerana tingkah laku negatif bukan sahaja kanak-kanak yang suka mengganggu rakan lain malah kanak-kanak yang seriang memberontak dalam kelas merupakan contoh kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku negatif. Tingkah laku distruktif merupakan tingkah laku  kanak-kanak iaitu permusuhan nyata iaitu kanak-kanak yang sering menunjukkan tingkah laku fisikal atau pun lisan yang bertujuan menyakiti seseorang. Contohnya, seorang murid sedang beratur untuk dapatkan makanan tiba-tiba seorang murid yang lain, memotong barisan tersebut.
Selain itu juga, vandalisme juga merupakan ciri-ciri tingkah laku distruktif.   Bagi kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku distruptif pula, kanak-kanak ini biasanya mempunyai ciri-ciri hyperaktif, suka membuat bising dan agresif. Kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku distruptif merupakan kanak-kanak yang suka bergerak, suka ketawa dengan kuat dan sering menunjukkan tingkah laku agresif kepada rakan-rakan yang lain. Tingkah laku bergantungan pula merupakan kanak-kanak yang sering mengalami emosi kebimbangan, pergantungan berlebihan dan mempunyai nilai kendiri yang rendah. Kanak-kanak ini biasanya sering bergantung pada orang lain dalam apa juga aktiviti yang dijalankan. Kanak-kanak yang terlalu pemalu juga merupakan kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku pergantungan.  
 Rajah 2: Jenis-jenis tingkah laku bermasalah negatif

Tingkah laku bermasalah negatif merangkumi :-
Tingkah laku yang menghalang ( bergantung ) : Tingkah laku ini merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan diri.
  • Kebimbangan – sentiasa berasa takut, menunjukkan reaksi bimbang, tiada keyakinan diri.
  • Pergantungan lebihan – terlalu mengharapkan pertolongan atau bantuan dari orang lain terutama ibu bapa atau orang yang rapat dengannya, terlalu manja, tidak boleh berdikari
  • Pengunduran diri – malu untuk menunjukkan kebolehan, teragak-agak memberi pendapat atau idea, tidak yakin pada kebolehan diri, sering menggangap orang lebih baik dari dirinya
  • Pengasingan diri – tidak suka bergaul atau berkomunikasi dengan kawan-kawan, sikap rendah diri yang terlalu tinggi, perasaan malu pada kawan-kawan


Tingkah laku yang mengganggu ( disruptif ) : Tingkah laku ini merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan orang lain.
  • Hiperaktif – kelakuan atau bertingkah laku yang tersangat agresif
  • Kelakuan nakal – suka menggangu kawan-kawan, membuli atau menyakat kawan-kawan sekelas.
  • Bising – menganggu ketenteraman bilik darjah, banyak bercakap .
  • Bergerak sesuka hati – suka keluar masuk kelas tanpa kebenaran, berjalan-jalan di dalam kelas semasa sesi pembelajaran berlaku, melakukan aktiviti yang disukai bila-bila masa.
  • Ketawa kuat – ketawa dengan suara yang nyaring dan kuat tanpa menghiraukan orang yang berada di sekelilingnya
  • Agresif secara lisan / fizikal – menggunakan kata-kata kasar, lucah, kurang ajar, tidak sopan.



Tingkah laku anti sosial ( distruktif ) : Tingkah laku ini merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan diri, sekolah dan masyarakat.
  • Permusuhan nyata – suka bergaduh, berlawan, bertumbuk, mencari pasal dengan mana-mana murid terutama rakan sebaya.
  • Vandalisme – suka merosakkan harta benda awam seperti menconteng dinding menggunakan pen, pensil, marker atau tapak kaki, mematahkan alat pengepam tandas, memecahkan kerusi atau meja di dalam bilik darjah, menggores atau menconteng meja.
  • Kumpulan liar – terlibat dengan kumpulan tidak bermoral
  • Klik – mempunyai hubungan dengan beberapa orang yang  mempunyai perangai atau tabiat yang sama tetapi lebih kepada tingkah laku tidak baik
  • Geng – menubuhkan kumpulan tertentu di dalam sekolah, kumpulan yang ditakuti atau digeruni oleh murid-murid lain, bertindak membuli atau menakut-nakutkan murid-murid lain.

4.0 KEPENTINGAN MENGURUS TINGKAH LAKU
Tingkah laku terpuji penting bagi melahirkan pelajar yang bersifat sanggup melaksanakan tanggungjawab pada diri, keluarga, institusi dan Negara. Tanpa tingkah laku terpuji dalam diri pelajar tidak mungkin mereka sanggup melaksanakan tanggungjawab diri sebdiri. Mereka lebih rela melakukan kesalahan berbanding melakukan perbuatan baik kerana bagi mereka, tiada faedahnya mereka melakukan kebaikan.
Tingkah laku terpuji penting bagi mewujudkan suasana tenang dan kondusif dalam bilik darjah supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan licin, berkesan, dan penuh ceria. Apabila pelajar yang bermasalah daripada segi disiplin ini tidak wujud dalam kelas, tidak ada pelajar yang membuat bising dan mengganggu pelajar lain belajar.
Guru juga tidak perlu meninggikan suara ataupun bercakap kasar dengan pelajar disebabakan berbagai-bagai masalah sebalaiknya pelajar sendiri sudah memahami peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Justeru, hubungan antara guru dan pelajar dapat diperbaiki dan kemesraan dapat diwujudkan, di sadapat berubah.mping minat bagi menimba ilmu dapat dipertingkatkan.
Para pelajar menjadi lebih tekun dan produktif apabila mereka mempunyai tingkah laku terpuji. Apabila mereka mengikut didiplin yang telah ditetapkan, jadual mereka dan tingkah laku mereka dapat berubah. Mereka dapat melakukan sesuatu perkara secara sistematik dan mengikut laluan yang betul tanpa menyalahi undang-undang. Mereka dapat menjadi lebih produktif lagi dalam menghasilkan idea yang menarik dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang kemahiran.
Masa dapat dijimatkan kerana segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat. Disiplin diri yang tinggi membentuk mereka menepati masa dan tidak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak perlu dilakukan. Sebagaimana yang kita tahu, pelajar kini lebih banyak melakukan tingkah laku bermasalah sehingga hilang pegangan dan hala tuju.
Pembangunan tingkah laku terpuji yang tinggi dalam kalangan pelajar mampu melatih pelajar dengan dengan nilai-nilai murni seperti kepatuhan, tanggungjawab, kasih saying, berkerjasama, cintakan kebersihan dan hormat menghormati. Oleh itu, dengan mematuhi disiplin, pelajar sentiasa ingat dan menanamkan sifat-sifat yang baik dalam diri dan membuang sifat-sifat negatif yang tidak perlu ada dalam diri mereka.

5.0 KESIMPULAN
Kebelakangan ini tingkah laku bermasalah menjadi topik perbincangan  di kalangan masyarakat umum. Nampaknya tingkah laku bermasalah boleh menyebabkan ketidakseimbangan di antara emosi dan aktiviti kehidupan seharian individu. Tingkah laku bermasalah juga memberi kesan yang buruk dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Umumnya , sekolah rendah merupakan tapak utama asas pendidikan. Dari sini, kanak-kanak dibentuk mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.  Guru memainkan peranan utama membentuk keperibadian tingkah laku murid-murid semasa berada di sekolah. Selain dari tanggungjawab ibu bapa, guru adalah orang yang penting dalam menghasilkan insan yang sempurna dalam pendidikan. Dengan bertambahnya bilangan anggota masyarakat yang berpendidikan moden, sikap yang tidak mementingkan kanak-kanak ini telah beransur berubah.
 Kanak-kanak pada hari ini telah diberikan perhatian serius secara keseluruhan dari segi emosi, jasmani dan rohani. Ibu bapa sudah mula pandai melayan pertanyaan anak-anak, membawa mereka makan bersama, berbincang serta memberi peluang kepada anak-anak memberi pendapat dan pandangan dan memberi mereka kebebasan memilih atau membuat keputusan asalkan tidak memudaratkan diri dan keluarga. Perkembangan sikap ini telah memberikan kesan positif dalam dunia kehidupan kanak-kanak supaya ia dapat menghasilkan satu generasi yang lebih aktif, berani dan mahu tampil ke hadapan untuk bertanding lebih gigih dalam kehidupan masyarakat.
Masalah tingkah laku sememangnya sering dihadapi oleh guru-guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Bukannya mudah untuk menguruskan masalah tingkah laku di kalangan murid-murid. Adakalanya ia dapat dikawal dan ada kalanya ianya seperti barah yang boleh menyebabkan lumpuhnya proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Yang pasti, tanggungjawab seorang guru di sekolah amat berat sekali. Bak kata pepatah “ Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul “. Itulah hakikat tugas seorang guru di sekolah. Apabila berlaku salah laku di kalangan murid-murid, maka guru akan dipersalahkan dan jari dituding ke arah guru.
Sebenarnya kadangkala keadaan dan suasana sekolah juga menimbulkan keadaan yang tidak selesa dan menyebabkan tingkah laku bermasalah. Kelas yang terlalu ramai, alat kelengkapan yang tidak mencukupi, suasana di dalam kelas yang tidak teraputik, alat bantu mengajar yang tidak cukup, gangguan dari luar dan keadaan sekolah yang tidak sempurna dari segi kemudahan asas. Kesemuanya ini boleh menimbulkan kegelisahan dan menganggu kelancaran perjalanan kelas.
Oleh itu, pendapat-pendapat dan kajian dari beberapa tokoh terkenal boleh dijadikan sebagai bahan rujukan oleh pihak sekolah bagi merancang strategi-strategi untuk meningkatkan lagi keberkesanan mengatasi tingkah laku bermasalah dan prestasi murid-murid dan akademik di sekolah.
Sebagai ibu bapa, kita mestilah menjaga keselamatan dan jaminan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Ibu bapa mesti memberikan kasih sayang dan perhatian selain dari wang ringgit dan keperluan asas mereka.
Ibu bapa juga perlu memberi peluang atau kebebasan kepada anak-anak untuk memilih apa yang mereka suka, mendengar penjelasan dan pendapat serta memberi sokongan tentang perkara-perkara yang mereka minati. Ibu bapa juga perlu mengamalkan sikap memberi ganjaran atau peneguhan setiap kali anak-anak berjaya. Sentiasa memberi galakan dan motivasi.
Oleh demikian, tingkah laku bermasalah harus ditangani oleh guru dengan bijak dan teratur agar ia tidak membantutkan atau menganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Melalui keberkesanan sistem pembelajaran yang berkesan akan mempercepatkan perkembangan pembelajaran murid-murid  di sekolah.

BIBLIOGRAFI

 Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2006). Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Sekolah Rendah dan Menengah). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI Psikologi. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2011). Nota Intisari Ilmu Pendidikan Psikologi Pendidikan. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2012). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Rohaty Mohd. Majzub (1992). Psikologi Perkembangan Untuk Bakal Guru. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Shahabuddin Hashim, Dr Rohizani & Mohd. Zohir. (2003). Pedagogi : Strategi dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sulaiman Ngah Razali. 1997. Pedagogi: Teori dan Praktik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


                          Disediakan oleh:
                    Mohamad Faizal bin Zakri 
                      faizalzakri@yahoo.com

2 ulasan: