Khamis, 30 Ogos 2012

Konsep Motivasi dan Jenis-jenis Motivasi


PENGHARGAAN
Syukur alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana memudahkan perjalanan  menyiapkan tugasan pelajaran PSIKOLOGI (RBK 2203M) yang telah diberikan dan merupakan kewajipan kami sebagai seorang pelajar.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pensyarah pembimbing, En. Ridzuan bin Ahmad kerana telah memberi tunjuk ajar, teguran dan sumbang saran ilmu kepada saya sepanjang menyelesaikan dan menyiapkan tugasan ini.
Tidak lupa juga kami kepada ibu bapa yang memberi dorongan agar terus berusaha melakukan sebaik mungkin dalam menyiapkan tugasan-tugasan akademik yang diberikan oleh pensyarah- pensyarah.
Rakan-rakan juga telah banyak membantu kami dalam berkongsi maklumat dan mencari bahan-bahan rujukan serta memberi idea-idea mantap yang berkaitan dengan tugasan ini.
Sekian, terima kasih.

1.0       PENGENALAN
            Motivasi atau pergerakan ialah dorongan tingkah laku organisma yang berterusan untuk menjalankan aktiviti yang dirangsangkan oleh sesuatu insentif. Tingkah laku seperti ini wujud kerana tegangan fisiologi ( keperluan minuman) atau psikologi, ( penghargaan) adalah menuju ke arah pencapaian sesuatu matlamat. Apabila merasa dahaga iaitu memerlukan minuman anda bermotivasi (terdorong) untuk berusaha mencari minuman. Tingkah laku anda ( iaitu berusaha mencari minuman) mempunyai suatu matlamat, iaitu untuk memenuhi keperluan dahaga. Insentif atau kepuasan yang anda peroleh kerana usaha itu ialah minuman. Setelah pencapaian matlamat motivasi organisma itu akan berkurangan.
Secara amnya, motivasi melibatkan tiga keadaan iaitu:-
(i)            Motivasi mewujudkan sesuatu situasi.
(ii)          Situasi mewujudkan sesuatu tingkah laku
(iii)         Tingkah laku itu menuju ke sesuatu matlamat

DEFINISI MOTIVASI

H. W.Bernard dalam bukunya Psychologi of learning (1965), menyatakan motivasi ialah proses membangkitkan mengekalkan dan mengawal minat. Manakala Crow dan Crow (1981) menghuraikan motivasi sebagai sesuatu desakan yang menjadikan manusia mengubah sikap, minat atau kegiatannya. Menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) menghuraikan motivasi sebagai perangsangan tindakan terhadap sesuatu tujuan yang dahulunya hanya terdapat sedikit atau tiada minat terhadap tujuan  tersebut. Secara ringkasnya, motivasi merupakan perangsangan yang membangkitkan dan mengekalkan minat seseorang individu ke arahmencapai sesuatu matlamat tertentu, termasuk mengubah sikap, minat dan tingkah lakunya. Ia biasanya diwujudkan kerana keperluan fisiologi atau psikologi yang timbul.
Menurut Woolfolk (1990) motivasi dirujuk kepada satu kuasa dalaman yang membangkit, mengarah dan mengawal minat serta tingkah laku manusia. Manakala Chaplin (1985) menyatakan bahawa angkubah yang digunakan untuk menerangkan tentang faktor dalaman organisma yang membangkitkan dan mengarahkan tingkah lakunya ke arah sesuatu matlamat. Vernon pula menjelaskan bahawa motivasi adalah tugasan yang memerlukan inisiatif peribadi.
Motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan hendak berjaya ataupun hendak mencapai sesuatu. Motivasi boleh juga dikatakan sebagai rangsangan untuk kejayaan seseorang ataupun rangsangan hendak mengelakkan diri daripada kegagalan. Orang yang mempunyai motivasi bererti dia sudah memperoleh kekuatan bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup sama ada di dunia ataupun akhirat ataupun keduanya sekali. Ahli psikologi memfokuskan pada tiga persoalan asas mengenai motivasi iaitu :
1. Apakah yang menyebabkan seseorang memulakan satu tingkah laku?
2. Apakah yang menyebabkan seseorang bergerak ke arah matlamat atau  
   impian?
3. Apakah yang menyebabkan seseorang tabah dan berkeras hendak
    mencapai impian itu?
Motivasi berasal daripada perkataan Inggeris iaitu motivation yang bermakna bersemangat. Motivasi adalah sesuatu yang ada (ataupun tiada) dalam diri dan minda yang akan menentukan kejayaan ataupun kegagalan dalam apa jua perkara yang dilakukan. Wikipedia mendefinisikan motivasi sebagai suatu proses untuk menggalakkan sesuatu tingkahlaku supaya dapat mencapai matlamat-matlamat yang tertentu.
Menurut Kimble, (1984) motivasi adalah proses yang terjadi dalam diri yang menciptakan tujuan dan memberikan tenaga bagi tingkahlaku seseorang iaitu daya penggerak yang ada di dalam diri seseorang untuk melakukan aktiviti-aktiviti tertentu demi mencapai suatu tujuan. Manakala bagi Santrock (2008) mengatakan bahawa “motivation is the reason why people behave the way they do. Motivated behavior is energized, directed, and sustained”. Motivasi adalah kuasa yang menggerakkan manusia mencapai sesuatu matlamat.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap sebagai satu unsur yang penting yang membolehkan murid-murid melibatkan diri secara aktif, disamping menjadikan proses pembelajaran itu berlangsung dalam keadaan bermakna, berfaedah dan menggembirakan (Kamarudin Hj Husin, 1993)
Berikut adalah antara beberapa ciri utama motivasi:-
(i)            Motivasi tidak wujud secara semula jadi
(ii)          Motivasi tidak diwarisi
(iii)         Motivasi boleh diwujudkan oleh keperluan fisiologi atau keperluan psikologi
(iv)         Motivasi menuju kea rah pencapaian matlamat.
(v)          Paras motivasi adalah berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain. Semakin kuat keinginan seseorang untuk mencapai sesuatu matlamat, semakin tinggilah motivasinya.

KONSEP MOTIVASI

Perkara yang menggerak dan menentukan tingkah laku seseorang selalu dikaitkan dengan konsep motivasi iaitu keinginan (drives), keperluan (needs), insentif, rasa takut (fears), matlamat (goals), tekanan sosial (social pressure), kepercayan diri (self-confidence), minat (interests), rasa ingin tahu (curiousity), kepercayaan (beliefs), nilai (values), pengharapan (expectations), dan berbagai lagi.
Motivasi juga dirangsang oleh dua aspek iaitu motif dan insentif. Insentif ialah galakan yang mendesak seorang individu supaya bertindak untuk mendapat ganjaran. Manakala motif ialah unsur yang lebih penting daripada insentif untuk merangsang murid dalam pembelajaran. Motif yang berasal daripada dalaman seorang dapat menggerakkan individu untuk mencapai pembelajaran sempurna.
Konsep motivasi juga dapat dijelaskan berdasarkan ciri-ciri individu atau sifat/perangai. Sebagai contohnya, ada pelajar yang bertindak melakukan sesuatu disebabkan keinginan yang tinggi untuk berjaya tetapi ada pula yang bertindak disebabkan takut untuk gagal, mungkin juga mereka bertindak kerana minat yang sangat mendalam dalam perkara itu, dan mungkin pula semata-mata disebabkan rasa bertanggung jawab kepada kedua ibubapa yang menaruh harapan begitu tinggi terhadap mereka.

Ada pula ahli Psikologi yang berpendapat bahawa konsep motivasi dirujukkan kepada keadaan diri seseorang buat masa itu sahaja. Sebagai contoh, semua pensyarah yang mengikuti kelas psikologi berusaha memberi sepenuh perhatian terhadap kuliah hari itu kerana mereka tahu apa yang diajar penting untuk ujian kenaikan pangkat. Pada dasarnya, motivasi yang terbentuk pada sesuatu ketika itu adalah gabungan antara traits(sifat/perangai) diri dan keperluan pada masa itu. Persoalan yang boleh diajukan kepada diri sendiri: Adakah saya berada dalam bilik kuliah hari ini disebabkan saya menghargai ilmu, atau adakah kerana saya perlu menduduki ujian? Satu kesimpulan boleh dibuat bahawa motivasi bergantung kepada dua faktor, iaitu faktor dalaman dan faktor luaran yang masing-masing dikenali sebagai motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.

JENIS-JENIS  MOTIVASI

Terdapat dua jenis motivasi iaitu motivasi intrinsik ( dalaman) dan motivasi ekstrinsik ( luaran).
Motivasi Intrinsik
Motivasi berpunca dari dalam ataupun dari luar diri seseorang. Dalam pembelajaran, guru perlu tahu sama ada pelajarnya cenderung kearah motivasi yang timbul dari dalam ataupun dari luar diri mereka. Ini perlu supaya guru dapat bertindak dengan sewajarnya bagi memberikan rangsangan kepada pelajarnya supaya berusaha. Motivasi yang berpunca dari dalam diri iaitu yang didorong oleh faktor kepuasan dan ingin tahu disebut ‘motivasi intrinsik’.
Motivasi intrinsik (dalaman) melibatkan pelajar sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran. Ia melibatkan perasaan ingin tahu mengenai sesuatu perkara dan melibatkan penggunaan praktikal perkara yang dipelajari. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi intrinsik lebih terlibat dengan keperluan penghargaan kendiri. Dorongan dalaman ialah kesediaan seseorang itu melakukan sesuatu tugas kerana tugas itu sendiri yang menyebabkannya berasa seronok dan puas hati.
Motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi daripada rangsangan dalaman. Ia terdiri daripada dorongan dan minat individu bagi melakukan sesuatu aktiviti tanpa mengharap ataupun meminta ganjaran. Sebagaimana yang sudah dibincangkan, Bruner (1966) mengaitkan motivasi intrinsik ini dengan naluri ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan bagi murid yang baru masuk sekolah. Bagaimanapun, bukan semua motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi. Terdapat juga motivasi intrinsik dibentuk daripada pembelajaran dan pengalaman yang membawa kepuasan. Contohnya, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat muzik adalah gerakan motivasi intrinsik yang dibentuk daripada pembelajaran dan pengalamannya. Harter (1981) mengenal pasti lima dimensi kecenderungan motivasi intrinsik dalam bidang pembelajaran. Dimensi-dimensi ini adalah cabaran, insentif bekerja bagi memuaskan minat dan sifat ingin tahu, percubaan penguasaan yang bebas, penilaian yang bebas berkenaan apa yang hendak dilakukan di dalam kelas dan kriteria dalaman untuk kejayaan.
Pelajar yang lebih cenderung ke arah motivasi intrinsik sukakan pekerjaan yang mencabarkan. Mereka mempunyai insentif yang lebih untuk bekerja bagi memanfaatkan kepuasan diri sendiri daripada mengambil hati guru bagi mendapat gred yang baik. Mereka lebih suka mencuba mengatasi masalah dengan sendiri daripada bergantung pada bantuan ataupun bimbingan guru. Mereka juga menerapkan suatu sistem penguasaan matlamat dan taraf penilaian yang membolehkan mereka membuat penilaian bebas berkenaan kejayaan ataupun kegagalan mereka di dalam kelas tanpa bergantung pada guru bagi mendapat maklumat ataupun penilaian.
Menurut Deci (1975), motivasi intrinsik dapat diterangkan sebagai suatu keadaan psikologi yang diakibatkan apabila individu menganggap diri mereka berkebolehan dan dapat menentukan sesuatu dengan sendiri. Seseorang itu mengalami motivasi intrinsik yang tinggi sekiranya dapat melakukan sesuatu yang digemari seperti memandu kereta, melawat tempat-tempat yang disukai, memilih tempat penginapan dan memilih makanan yang diidamkan. Sekiranya dia diberikan hadiah seperti lawatan ke tempat-tempat yang ditentukan oleh badan penganjur, tempat penginapan dan jenis makanan juga ditentukan oleh pihak itu, dia tidak mendapat peluang hendak menentukan segala-galanya sendiri. Oleh itu, motivasi intrinsiknya menjadi terlalu rendah.
Guru yang mahu meningkatkan motivasi intrinsik pelajar dalam bidang akademik perlu mewujudkan suasana akademik yang memberi peluang kepada pelajar mengawal. Guru juga perlu menentukan pelajar itu dapat melakukannya dengan cemerlang dalam keadaan itu. Walau bagaimanapun, perlu ditentukan terlebih dahulu yang pelajar itu mempunyai persepsi yang diri mereka berkebolehan. Sekiranya mereka tidak mempunyai persepsi seperti itu, peluang-peluang yang diberikan bagi mengawal tidak akan digunakan dengan sempurna.

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI MOTIVASI INTRINSIK

Beberapa faktor yang mempengaruhi motivasi intrinsik adalah seperti berikut:-
(i) Persepsi Kebolehan
Seseorang itu membentuk kebolehan yang dipersepsi daripada penilaian berkenaan kebolehannya oleh orang lain. Kebolehan yang dipersepsi daripada penilaian berkenaan kebolehannya yang sebenar. Semakin tinggi pencapaian seseorang pelajar, semakin besar kemungkinan pelajar itu menilai dirinya sebagai berkebolehan. Kebolehan yang dipersepsi ini mempengaruhi bagaimana pelajar itu rasa berkenaan dirinya. Pelajar yang mempunyai kebolehan yang dipersepsi yang tinggi kemungkinan besar mempunyai keyakinan diri sendiri. Pelajar ini sukakan cabaran, mempunyai sifat ingin tahu dan bertindak bebas bagi mencapai kemahiran.
ii) Persepsi kawalan
Menurut Cole dan Chan (1987), pendapat pelajar berkenaan punca kawalan iaitu sebab-sebab kejayaan dan kegagalan adalah persepsi kawalan. Kajian-kajian yang dijalankan oleh Harter (1981), Nicholls (1984) dan Weiner (1984) menunjukkan, pelajar menyatakan kejayaan dan kegagalan mereka di sekolah disebabkan oleh punca-punca dalaman yang dapat dikawal seperti usaha sendiri dan berupaya berusaha dalam keadaan sebenar.
iii) Perasaan dalam pembelajaran
Perasaan merangkumi sikap, nilai, minat dan pilihan yang ditunjukkan oleh individu pada sesuatu benda, perkara ataupun orang. Di sekolah, perasaan yang ditunjukkan oleh pelajar berkait dengan mata pelajaran yang dipelajari, guru dan sekolah. Seseorang pelajar mungkin mempunyai perasaan positif pada sesuatu mata pelajaran. Dia lebih sukakan mata pelajaran ini daripada mata pelajaran lain. Dia akan berusaha dengan giat bagi mendapatkan gred yang tinggi bagi mata pelajaran ini. Gred yang baik akan meyakinkannya yang dia betul-betul berkebolehan dalam bidang itu. Di sini, dapat dikatakan yang perasaan pelajar pada sesuatu mata pelajaran mempengaruhi pencapaiannya dan pencapaian ini mempengaruhi motivasinya.
Kelakuan dan tugasan individu dipengaruhi oleh kebolehan dan caranya mengawal keadaan. Konsep kendiri positif memberi keyakinan kepada individu yang dia mampu melakukan sesuatu tugasan. Selain itu, individu dapat menentukan sendiri tugasannya. Dia akan melibatkan diri dalam tugasan itu dan juga matlamat yang mendatangkan kejayaan kepadanya. Individu hanya akan mempunyai konsep kendiri yang dia berkebolehan dan dapat mengawal usahanya sekiranya dia mempunyai motivasi intrinsik untuk berusaha tinggi. Terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan bagi membantu pelajar dalam mempertingkatkan motivasi intrinsik mereka. Ramalan keadaan Rothaum, Weisz dan Synder (1982) berpendapat, cara bagi mempertingkatkan persepsi diri pelajar pada kebolehan dan kawalan usaha adalah dengan mewujudkan keadaan yang dapat diramalkan bagi membolehkan mereka belajar.
Tingkah laku produktif wujud sekiranya keadaan dapat diramal. Bandura (1986) pula mengatakan, individu mengalami ketegangan sekiranya dia bekerja dalam suasana yang dia tidak dapat mengawalnya dan dia tidak mempunyai kebolehan. Ini mendatangkan dua implikasi. Pertama, dia mungkin menarik diri iaitu tidak melakukan tugasannya. Kedua, dia mungkin menjadi terlalu bergantung pada orang lain dalam melakukan tugasannya. Guru dapat memainkan peranan dalam mengurangkan ataupun menangani ketegangan ini. Contohnya, dengan menganjurkan program orientasi kepada pelajar baru. Ini dapat mendedahkan mereka kepada situasi baru di sekolah itu.
Minat intrinsik dalam pelajaran dapat dikekalkan dengan memberi tugasan yang seimbang. Tugasan itu perlu seimbang iaitu ada soalan yang mudah dan ada soalan yang sukar. Yang penting, persepsi diri pelajar tidak terjejas. Pelajar perlu melahirkan kebolehan yang baru bagi mengekalkan motivasi intrinsik.
iv) Bantuan pengajaran
Faktor yang dapat meningkatkan konsep kendiri pelajar berkenaan kebolehannya adalah kejayaan dalam sesuatu tugasan. Biasanya pelajar memerlukan bimbingan guru dalam melaksanakan tugasan yang sukar. Guru biasanya memberitahu pelajar prosedur bagi menyelesaikan tugasannya. Guru jarang memberi peluang kepada pelajar memikirkan cara tersendiri bagi memperoleh kejayaan dalam tugasannya. Guru sebaik-baiknya mendedahkan pelajar kepada kemahiran membuat keputusan sendiri. Biarkan pelajar membuat keputusan sendiri tetapi dengan bimbingan guru. Ini dapat meningkatkan motivasi intrinsik pelajar. Cara lain yang dapat dilakukan adalah dengan memberi bantuan pengajaran kepada mereka. Ini dapat dilaksanakan melalui tiga cara:
1. Menunjukkan contoh
Guru perlu menunjukkan contoh berkenaan apa yang pelajar perlu lakukan. Ini lebih baik daripada memberitahu pelajar berkenaan apa yang mereka perlu buat. Ini membolehkan pelajar menghayati sifat-sifat yang terdapat dalam contoh itu. Dalam keadaan ini, guru memberi peluang kepada pelajar supaya berfikir, mengawal usaha dan menentukan bagaimana serta sejauh mana pelajar bergantung pada contoh-contoh yang diberi.
2. Pembahagian tugas
Strategi ini membolehkan guru memberi tugasan yang mencabar kepada pelajar. Tugasan dapat dibahagi kepada bahagian-bahagian kecil dan setiap bahagian dilakukan oleh beberapa orang pelajar. Contohnya, sebelum guru meminta pelajar mengarang sebuah esei, guru akan meminta pelajar menyediakan rangka esei. Guru terlebih dahulu membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap kumpulan diberi tugasan kecil seperti bahagian pengenalan, isi-isi penting dan penutup. Perbincangan diadakan sebelum setiap pelajar mengarang esei itu secara individu.
3. Berkongsi tugasan
Pendekatan ini hampir sama dengan pendekatan pembahagian tugasan. Kedua-dua pendekatan ini memerlukan tugasan dibahagikan kepada tajuk-tajuk ataupun bahagian-bahagian yang lebih kecil. Contohnya, dalam aktiviti menghasilkan dokumen berkenaan sejarah Malaysia. Tajuk ini dapat dipecahkan kepada beberapa contoh kecil dan kumpulan kecil pelajar hanya perlu membuat satu tajuk kecil. Kemudian, maklumat tajuk-tajuk kecil ini digabungkan bagi menghasilkan satu dokumen yang lengkap.

Motivasi Ekstrinsik

Motivasi yang berpunca dari luar iaitu apabila kita buat sesuatu bagi mendapatkan ganjaran adalah ‘motivasi ekstrinsik’. Ia melibatkan ganjaran yang jelas dan nyata seperti memberi markah, gred, agregat, keistimewaan, penghargaan, pujian, persaingan dan sebagainya yang diberi untuk sesuatu pencapaian prestasi yang baik.
Motivasi luaran boleh menjadi kurang berkesan kerana matlamat penggunaannya mungkin disalah tafsirkan oleh pelajar. Ini berlaku kerana pemberian ganjaran ditakuti menjadi fokus dan objektif pembelajaran pelajar yang sebenar.  Bagaimanapun motivasi ektrinsik yang berbentuk sederhana seperti memberi pujian dan penghargaan tetap berkesan kerana ianya boleh memberi dorongan dan peneguhan positif yang memberangsangkan pelajar.
Tujuan motivasi ektrinsik ini ialah menggerakkan orang untuk melakukan sesuatu tingkah laku yang akan membawa faedah kepadanya. Motivasi ekstrinsik diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan individu supaya melakukan sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepadanya. Motivasi ekstrinsik ini dapat dirangsang dalam bentuk-bentuk seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk suasana dan iklim persekitaran yang kondusif bagi mendorongkan pelajar belajar. Contohnya, pujian yang diberikan oleh guru kepada seseorang pelajar kerana kerjanya yang baik akan menyebabkan daya usaha pelajar itu meningkat. Peneguhan adalah suatu motivasi ekstrinsik yang boleh memberi kesan kepada tingkahlaku seseorang pelajar.
Di dalam kelas, guru perlu tahu jenis peneguhan yang hendak diberikan dan sekerap mana ia perlu diberikan. Ada peneguhan yang dapat diberikan dengan kerap, contohnya pujian sokongan ataupun pujukan. Menurut Kazdin(1984), peneguhan lebih berkesan sekiranya diberikan dengan kerap pada peringkat pembelajaran baru. Oleh itu, semasa pelajar mula mempelajari sesuatu tugasan yang baru, mereka sebaik-baiknya diberikan pujian dan sokongan dengan kerap. Hukuman ataupun deraan adalah suatu bentuk peneguhan negatif dan ia sebaik-baiknya tidak diberikan. Hukuman lazimnya digunakan oleh guru bagi menghapuskan kelakuan pelajar yang tidak baik. Hukuman ini mungkin sebagai kerja tambahan, kelas tahanan, deraan fizikal dan pelbagai jenis hukuman lagi. Guru juga menggunakan sindiran, kemarahan dan kritikan bagi mengawal kelakuan pelajar. Hampir semua jenis hukuman memberikan kesan buruk kepada pelajar. Oleh itu, peneguhan jenis ini lebih baik dielakkan. Hukuman boleh diberikan sekiranya jenis hukuman itu dibenarkan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan ataupun Kementerian Pendidikan.

Kaitan antara Motivasi Intrinsik dan Motivasi Ekstrinsik

Setiap manusia dapat dimotivasikan secara intrinsik ataupun ekstrinsik. Individu yang bermotivasi intrinsik mempunyai dorongan dalaman. Mereka melakukan sesuatu atas kesedaran diri sendiri. Mereka tidak memerlukan unsur-unsur luar seperti orang lain ataupun peristiwa luar bagi menggiatkan mereka mencapai sesuatu matlamat. Mereka sendiri menentukan objektif dan seterusnya mencapai objektif itu.
Deci dan Ryan (1985) berpendapat, manusia akan bermotivasi intrinsik apabila mereka mempunyai persepsi ataupun konsep kendiri yang mereka berkebolehan dan mampu membuat keputusan sendiri. Sebaliknya, orang yang bermotivasi ekstrinsik tidak yakin mereka berkebolehan ataupun mampu membuat keputusan. Mereka bergantung pada orang lain dalam membuat keputusan dan melaksanakan tugasan mereka. Kadang-kadang mereka bekerjasama dengan orang lain yang lebih berkebolehan bagi mendapatkan kebaikan. Mereka juga kadang-kadang memberontak pada orang yang lebih berkebolehan.
Seseorang yang tidak mempunyai mempunyai motivasi intrinsik perlu diberi motivasi ekstrinsik agar lama-kelamaan motivasi intrinsik akan terbina dalam dirinya dan seseorang yang telah mempunyai motivasi intrinsik perlu juga diberi motivasi ekstrinsik agar motivasi intrinsik yang ada terus berkekalan dalam dirinya. Manusia biasanya tidak akan berada pada satu jenis motivasi sahaja. Kadang kala, individu bermotivasi intrinsik dan kadang-kadang bermotivasi ekstrinsik. Ini bergantung pada situasi dan keperluan individu.

PENDEKATAN GURU MEMOTIVASIKAN PELAJAR

1.    Penerangan Yang Jelas. 
Kajian menunjukkan kebanyakan pelajar tidak cemerlang dalam kerja rumah dan tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut mereka lakukan.  Guru sepatutnya memberikan sedikit masa untuk menjelaskan perkara berikut:
a.      Kenapa tugasan yang diberikan itu penting?                  
b.      Apa kaitan sesuatu subjek dengan kehidupan?
c.       Memastikan pengetahuan asas mereka mantap.
d.      Beritahu bagaimana hasil kerja mereka akan dinilai.
2.     Ganjaran. 
Pelajar yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran.  Lihat apa kebaikan dan kelebihan pelajar dan suburkannya, mereka pasti mengulangi kebaikan ini dilain masa.  Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian, pelepasan dari tugas harian, dan sebagainya. Ganjaran bukan sahaja diberikan terhadap pencapaian yang diperolehi tetapi juga terhadap usaha yang diberikan.  Berikan insentif agar pelajar berusaha untuk menguasai pengetahuan dan maklumat bukan sekadar bersaing antara satu sama lain. Ganjaran luar yang berkesan ialah yang mampu menjana motivasi dalaman pelajar.
3.            Tetapkan Matlamat. 
Setiap pelajar mestilah disuruh menetapkan matlamat untuk setiap mata pelajaran yang diambil.  Ikuti perkembangan pelajar dan pastikan setiap pelajar mampu merealisasikan matlamat masing-masing. 

4.            Ambil Berat. 
Pelajar akan memberikan tindakbalas yang positif terhadap guru yang ambil berat tentang diri dan masalah mereka.  Memahami adalah lebih baik dari menghukum.  Ada ketikanya guru perlu bercerita kisah lampau,  memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah mereka lakukan, dan lain-lain sebagai  suatu teladan untuk pelajar. Dengan cara ini wujud kemesraan antara guru dan pelajar.  Ini penting untuk mewujudkan jambatan emosi, saling mempercayai dan saling bertanggung jawab.  Sekiranya mereka lakukan kesilapan, pastikan mereka faham bahawa semua orang boleh lakukan kesilapan tetapi jelaskan kepada pelajar iaitu manusia berjaya ialah mereka yang belajar dari kesilapan.  Sentiasa tanya apa matlamat mereka? Apa perancangan mereka? Sejauh mana progres mereka? Apa minat mereka? Apa kerjaya pilihan mereka? Dan sebagainya.
“Pelajar tidak prihatin sejauh mana anda tahu sehinggalah mereka tahu sejauh mana anda prihatin terhadap mereka”.
Ada ketikanya guru perlu bertemu pelajar secara personal untuk membuktikan yang mereka benar-benar ambil berat tentang mereka.  Malah usahakanlah untuk dari semasa ke semasa mengatur sessi perbincangan personal ini dengan semua pelajar.
5.    Penglibatan Pelajar. 
Salah satu kunci motivasi diri ialah penglibatan aktif pelajar dalam pembelajaran.  Berdiri di depan kelas dan memberi syarahan untuk memotivasikan mereka lambat laun tidak akan meninggalkan sebarang kesan.  Rangsang pelajar untuk terlibat dalam aktiviti seperti perbincangan kumpulan, penyelesaian masalah, aktiviti luar, interaksi antara pelajar dan saling membantu.  Pelajar akan lebih bermotivasi apabila mereka rasa diri mereka penting dan diperlukan.  Oleh itu libatkan setiap pelajar dalam pelbagai kerja guru seperti mencari bahan rujukan, mencari biografi orang tertentu, menyusun atur bilik darjah mengangkat buku dan sebagainya.

Kesimpulannya, hubungan guru dan pelajar terjalin melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru-guru harus mengamati pengajaran dan pembelajaran dalam konteks menggunakan bahan-bahan yang menbantu dalam pengajaran. Selain itu, guru juga perlu sedar proses yang dialami sewaktu mengajar, iaitu elemen-elemen yang tersirat yang merangsang kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Motivasi dalam pembelajaran tidak boleh menyangkal kehadiran motivasi ekstrinsik dan inrtinsik dalam mendekati motivasi manusia. Kedua-dua motivasi ini sangat penting dalam menggerakkan seseorang pelajar untuk memenuhi objektif pembelajaran yang ditentukan oleh guru.
   
RUJUKAN
Kementerian Pendidikan Malaysia (2002). Huraian Sukatan Pelajaran
Kemahiran Hidup Sekolah Rendah Tahun 6.  Pusat Perkembangan Kurikulum. Kuala Lumpur.
Mok Song Sang. (2011). Nota Intisari Pendidikan Psikologi Pendidikan.  Penerbitan
          Multimedia Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.
Murugiah Velayutham.(1996). Psikologi Pendidikan 1: Psikologi Perkembangan.  
         Kumpulan BudimanSdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan dan Abdul Aziz Abdul Syukor (2008). Psikologi
        Pendidikan. Oxford Fajar Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.

Disediakan oleh:
Khairiyah Binti Ibrahim
DPLI MU/RBT

16 ulasan:

  1. Saya jadikan kajian puan sebagai rujukan halalkan ye...

    BalasPadam
  2. sy ambil juga sbgai rjukan ya... halalkan... hihi

    BalasPadam
  3. Saya panjangkan penulisan puansebagai amal jariah sebagai sebahgian bahan modul yang akan digunakan oleh pelajar saya. mohon halalkan. semoga amal jariah puan dirahmati Allah swt.

    BalasPadam
  4. Izinkan saya juga mengambil maklumat ini puan, untuk bacaan persediaan interview saya. Jazakallah

    BalasPadam
  5. izinkan saya ambil maklumat ini untuk kerja kursus saya ya thnks

    BalasPadam
  6. puan,izinkan saya ambil maklumat berkaitan artikel ini sebagai rujukan ya

    BalasPadam
  7. assalamualaikum..izinkan saya ambil maklumat utk rujukan

    BalasPadam
  8. Assalamualaikum..t.kasih banyak2.Bahan kajian Puan Saya jadikan rujukan.Semoga Allah juga yg membalas Jasa baik Puan.

    BalasPadam
  9. Assalamualaikum wbt.....terima kasih atas maklumat yang diberi....saya minta izin untuk dijadikan bahan rujukan. Terima kasih puan.

    BalasPadam
  10. Assalamualàikum...Saya telàh Membaca kajian Puan dan jadikan rujukan.Mohon halalkan ilmu.

    BalasPadam
  11. Salam..saya minta izin untuk jadikan kajian puan sbgai bahan rujukan. Semoga dirahmati Allah. tq.

    BalasPadam
  12. assalamualaikum sy ambk untuk rujukan halal yee..terima kasih

    BalasPadam
  13. assalamualaikum puan saya minta izin untuk jadikan penulisan puan ni sebagai bahan rujukan.

    BalasPadam
  14. salam puan, izinkan saya untuk jadikan kajian puan sebagai bahan rujukan. terima kasih

    BalasPadam
  15. Assalamualaikum puan, mohonizin untuk jadikan penulisan puan ni sebagai bahan rujukan. Terima kasih

    BalasPadam
  16. Salam, terima untuk notanya yang baik. Rujukkan baik.

    BalasPadam