Khamis, 30 Ogos 2012

Perspektif Motivasi dan Implikasi Motivasi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

PERSPEKTIF MOTIVASI
Terdapat dua pendapat tentang motivasi dan pengaruhnya iaitu Teori Humanistik oleh Abraham Maslow dan Teori Pelaziman Operan oleh B. F. Skinner.

Hirarki Keperluan Maslow.



ABRAHAM MASLOW
(1908 – 1970)
Abraham Maslow (1908-1970) telah menggunakan pendekatan humanistik berdasarkan dua perkara iaitu keperluan-keperluan defisit dan keperluan-keperluan perkembangan manusia. Maslow berpendapat bahawa seseorang individu itu akan  memuaskan keperluan defisitnya terlebih dahulu. Beliau telah mengenalpasti empat perkara asas yang difikir utama:

(i). Keperluan Fisiologi

Keperluan manusia yang paling asas adalah untuk hidup. Manusia perlukan udara, air, makanan dan tempat tinggal bagi memenuhi kehendak pertama dan utama ini. Pada masa ini, keperluan lain tidak sama sekali menjadi tumpuan selagi kehendak asas ini dipenuhi.

(ii). Keperluan Keselamatan dan Perlindungan

Setelah keperluan ini dicapai, manusia akan mencari keselamatan hidup, kestabilan kerja, jagaan masyarakat, undang-undang serta membebaskan diri daripada ancaman luaran mahupun dalaman. Tahap keselamatan ini amat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan hidup.

(iii). Keperluan Kasih Sayang dan Kepunyaan

Dalam memenuhi keperluan kasih sayang pula, manusia perlukan hubungan dengan insan lain. Kita semua pada asasnya ialah manusia yang bersosial, iaitu kita perlukan kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu, manusia ini sememangnya tidak boleh wujud bersendirian.

(iv). Keperluan Penghargaan Kendiri

Tahap seterusnya adalah kehendak untuk penghargaan kendiri. Kita mahu berkuasa, sekurang-kurangnya ke atas diri kita sendiri. Pada masa yang sama, kita juga perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta kebebasan. Seterusnya manusia ingin dihormati, disanjungi dan kehendak status dalam hidup.

Seseorang individu pada mulanya akan bermotivasi untuk menyingkirkan keperluan asas fisiologi dan mencari makanan dan minuman sebelum mencari tempat untuk berteduh atau rumah untuk didiami. Setelah seseorang individu itu dapat memperolehi makanan dan tempat tinggal yang selesa, mereka lebih bermotivasi untuk bersama dengan orang lain di dalam masyarakat atau berkahwin. Hanya setelah memperolehi kepuasan bagi ketiga-tiga keperluan asas ini, barulah seseorang individu itu akan membina penghargaan kendiri dengan memperolehi kemahiran dan pengetahuan tertentu untuk mencapai penghargaan dalam bidang tertentu. Pada asasnya konsep Maslow hanya menfokuskan kepada satu perkembangan sahaja iaitu penyempurnaan kendiri. Namun, beliau telah menambah beberapa aspek-aspek lain iaitu:

(i)            Kognitif iaitu untuk mengetahui, memahami dan mencari ilmu;
Setiap individu akan mencari pengetahuan dan memahami dunia sekelilingnya apabila keperluan asas telah dipenuhi. Mereka akan mencuba mencari maklumat dan pengetahuan baru dan cuba menyingkirkan pengetahuan defisit yang sedia ada.

(ii)          Astetik iaitu penghargaan simetri, bentuk-bentuk tersusun dan kecantikan;
Seterusnya, seseorang individu itu akan menjurus kepada satu tahap lagi iaitu mereka mula menghargai perkara-perkara yang indah dalam kehidupan seperti mula menyedari kecantikan dan keadaan sekeliling yang teratur. Selain itu, mereka akan juga mula menikmati dan menghargai seni, teater, hobi-hobi yang luar biasa seperti memandu kapal terbang atau menyertai Kelab Berpidato untuk meningkatkan kemahiran berpidato mereka.

(iii)         Penyempurnaan kendiri (Self-actualisation) iaitu untuk mencari keperluan diri
          dan menyedari potensi diri;

Penglibatan individu itu dalam pelbagai hobi yang berlainan kerana mereka berusaha untuk mencapai keperluan penyempurnaan kendiri yang tinggi. Penyempurnaan kendiri merujuk kepada tahap di mana individu itu merasakan diri mereka telah berjaya menggunakan potensi insaniah mereka yang optima. Pada peringkat ini, mereka akan berkhidmat untuk menyelesaikan masalah-masalah global seperti menangani isu-isu alam sekitar.

(iv)         Meluaskan kendiri (Self-transcendence) iaitu untuk menghubungkaitkan dengan segala keperluan dunia, iaitu sesuatu yang lebih luas daripada diri. Pada peringkat ini, manusia juga mempunyai keinginan untuk membantu orang lain serta mencari keperluan diri dan sedar akan potensi masing-masing.

Implikasi Teori Maslow dalam Amalan Bilik Darjah.

Menurut Maslow, keperluan fisiologi yang juga dikenali sebagai keperluan primer ialah merupakan keperluan yang paling asas. Keperluan ini melibatkan keperluan untuk mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal. Membicarakan teori keperluan Maslow dalam konteks pendidikan,  keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah bergantung kepada setakat mana hierarki keperluan-keperluan murid dipenuhi. Contohnya, murid-murid yang kurang  makanan akan menyebabkan kesihatan pelajar terbabit akan terjejas. Hal ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat menumpukan perhatian sepenuh serta tidak bermotivasi untuk belajar. Justeru, para guru perlu mengambil berat kepada tanda-tanda kekurangan dari segi fizikal pelajar itu.

Selain itu, guru mempunyai sifat penyayang untuk memenuhi keperluan kasih sayang yang mungkin tidak diperolehi di rumah. Memupuk nilai penghargaan kendiri dalam kalangan murid serta memberikan motivasi dan peneguhan yangs sesuai supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Guru juga boleh merancang aktiviti pengajaran mengikut kebolehan murid agar dapat meningkatkan keperluan penyuburan serta dapat memperolehi pengetahuan dan mennikmati karya atau ciptaan estetik yang bermutu tinggi.  

Di samping itu, keluarga yang bahagia dapat memenuhi keperluan asas mereka. Sebagai murid sekolah, mereka memerlukan individu dewasa terutamanya ibu bapa agar keperluan mereka dilindungi. Sekiranya keperluan asas tidak dipenuhi atau keselamatan mereka tidak terjamin, akan menjejaskan perkembangan personaliti mereka. Hanya setelah mereka mencapai tahap keperluan fizikal, keselamatan diri dan penerimaan kasih sayang dipenuhi, mereka boleh melangkah ke tahap yang seterusnya dalam Hierarki Keperluan Maslow.

Penghargaan diri yang positif akan mempengaruhi sikap kanak-kanak dalam sistem persekolahan dan mereka akan dapat menerima seterusnya menguasai ilmu dan kemahiran dengan mudah. Mereka akan menetapkan matlamat cita-cita mereka dan memastikan yang mereka akan dapat mencapainya. Namun begitu, Maslow juga dapat menerima hakikat bahawa tidak semua kanak-kanak dapat melalui setiap peringkat yang tertera dalam hierarki keperluan beliau.

Teori Peneguhan Perlakuan Skinner




BURRHUS FREDERIC SKINNER
(1904-1990)

Teori peneguhan perlakuan B. F. Skinner secara keseluruhannya berdasarkan pembentukan kelakuan manusia melalui peneguhan. Peneguhan ialah perkara yang dilakukan untuk menggalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Mengikut Skinner, beliau telah membahagikan pengukuhan kepada dua jenis iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.

i.              Peneguhan positif
Peneguhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran setelah sesuatu perlakuan yang positif ditunjukkan akan menyebabkan perlakuan itu  diulangi dan diperkuatkan lagi. Dalam bilik darjah, peneguhan positif akan memberikan suatu bentuk motivasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contoh-contoh peneguhan positif yang boleh diberikan dalam bilik darjah ialah seperti memberikan kata-kata pujian selepas pelajar melakukan sesuatu kerja atau menjawab soalan, memberikan senyuman, menepuk bahu pelajar, memberi hadiah dan sebagainya. Peneguhan positif yang diberikan oleh guru dapat mendorong pelajar menghasilkan kerja yang bermutu tinggi. Peneguhan yang diberi juga mestilah jelas dan bersistematik. Hanya tingkah laku yang spesifik sahaja yang perlu diberi peneguhan. Guru juga mestilah ikhlas ketika memberi peneguhan.

ii.            Peneguhan negatif
Peneguhan negatif ditafsirkan sebagai hukuman, tindakan atau denda yang digunakan oleh seseorang guru bagi menghalang murid-muridnya daripada berkelakuan yang tidak diingini. Contohnya, guru boleh mengurangkan waktu rehatnya selama lima minit berbanding dengan kawan-kawannya kerana membuat bising sewaktu kelas matematik. Tindakan ini bagi menghalang murid berkenaan daripada terus mengulangi kelakuan yang tidak diingini tersebut.

Menurut teori ini, guru-guru dapat memotivasikan murid-murid dengan memberikan peneguhan secara positif dalam bentuk hadiah, kata-kata pujian, kata-kata perangsang ataupun tanda penghargaan. Sebaliknya, guru juga boleh menghapuskan kelakuan-kelakuan yang bermasalah dengan menggunakan peneguhan negatif seperti hukuman, denda dan sebagainya.

Kesan Motivasi Terhadap Murid.
Kejayaan atau kegagalan objektif dan hasil-hasil pembelajaran adalah bergantung sejauh mana murid-murid mempunyai motivasi untuk bertindak. Sekiranya guru dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif, murid akan berasa diri dihargai secara tidak langsung mereka mempunyai motivasi yang secukupnya untuk mencapai prestasi yang tinggi dalam aktiviti kokurikulum dan kurikulum.

Justeru, guru-guru dan sistem persekolahan memainkan peranan yang besar dalam mengekalkan motivasi murid-murid sepanjang persekolahan mereka dan kemudiannya mempunyai daya motivasi untuk menamatkan persekolahan untuk berjaya dalam hidup. Terdapat beberapa kesan-kesan motivasi ke atas murid-murid iaitu;

(i)            Kerisauan.
Akibat motivasi akan menghasilkan kerisauan. Kerisauan boleh mendorong seseorang itu melakukan sesuatu tingkahlaku. Seseorang murid itu berasa resah dan bimbang sekiranya tidak dapat mencapai kejayaan. Ini kerana murid-murid telah menetapkan matlamat atau sasaran yang terlalu tinggi akan berasa resah sekiranya mereka tidak berupaya mencapai sasaran tersebut. Contohnya, murid yang bijak telah menetapkan sasaran bagi mencapai keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR, namun mereka berasa resah dan bimbang sekiranya sasaran itu tidak dapat dicapai. Kerisauan ini mungkin menjadi satu masalah yang begitu teruk sehingga berlakunya masalah pengsan, menangis, jari jemari menjadi kaku ataupun jatuh sakit.

Sebilangan murid-murid memerlukan tahap kerisauan yang sederhana untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Jelas bahawa murid-murid perlu berasa resah sekiranya ingin mencapai kecemerlangan. Sebaliknya, sesetengah guru perlu menetapkan hukuman yang keras, agar murid-murid akan berasa cemas dan ini dapat mendorong mereka mengubah sikap terhadap pembelajaran mereka untuk berjaya.

(ii)          Perubahan sikap
Motivasi juga dapat menghasilkan perubahan sikap daripada sikap negatif kepada sikap yang positif. Murid-murid yang mempamerkan sikap yang tidak diingini dapat menunjukkan perubahan sikap mereka sekiranya mereka diberikan dorongan melalui teknik-teknik peneguhan positif oleh guru mereka. Peneguhan-peneguhan  positif seperti kata-kata perangsang, pujian, nasihat serta penggunaan kata-kata motivasi peribadi yang positif dapat membantu murid-murid yang nakal untuk membuang sikap negatif mereka ke arah usaha mencapai kejayaan.

Murid-murid yang suka bermain dan tidak serius dalam pembelajaran boleh dimotivasikan oleh si guru secara ekstrinstik dengan memberikan ganjaran yang kecil bagi kejayaan yang ingin dicapai. Contohnya, seorang guru berhasrat untuk menghadiahkan sebatang pensil setelah anak muridnya dapat menulis dengan tulisan yang cantik, secara tidak langsung mereka akan terdorong untuk menulis dengan kemas. Namun begitu, murid yang mempunyai perasaan harga diri yang rendah sukar dimotivasikan dengan menggunakan ganjaran. Justeru, dengan galakan dan dorongan yang sesuai dan berterusan, sikap ini akan dapat diubah.

(iii)         Perasaan Ingin Tahu
Perasaan ingin tahu boleh boleh timbulkan melalui motivasi. Kanak-kanak mempunyai perasaan semulajadi untuk meneroka keadaan persekitaran mereka. Contohnya, apabila seorang guru memberi peluang kepada anak muridnya meneroka keadaan alam sekitar seperti di Taman Rama-rama, mereka akan bersikap ingin tahu dan terus mengambil tindakan untuk meneroka dan cuba mencari jawapan. Pembelajaran yang mendalam ini akan terus disimpan dalam ingatan jangka panjang.

Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan peristiwa-peristiwa, bahan nyata ataupun persembahan slaid sewaktu mengajar akan menimbulkan perasaan ingin tahu murid-murid untuk belajar dengan lebih lanjut bagi mengikuti pengajaran guru dengan lebih teliti. Di samping itu, guru juga boleh menggunakan kemahiran penyoalan  yang tinggi, perasaan ingin tahu murid-murid akan tercetus dengan sendirinya.

(iv)         Lokus Kawalan
Lokus kawalan dianggap sebagai sebuah aspek yang penting dalam personaliti. Konsep ini telah dikembangkan oleh Julian Rotter pada tahun 1950-an. Ia merujuk kepada pandangan seseorang individu terhadap punca-punca utama berlakunya sesuatu peristiwa dalam hidupnya. Lokus kawalan terbahagi kepada dua jenis iaitu lokus kawalan dalaman dan lokus kawalan luaran. Mereka yang memegang lokus kawalan dalaman ialah mereka yang percaya bahawa mereka yang akan mengawal nasib mereka sendiri. Mereka cenderung bahawa kemahiran, keupayaan dan usaha sendiri menentukan sebahagian pengalaman hidup mereka. Manakala mereka berpegang kepada lokus kawalan luaran pula, mereka percaya bahawa kehidupan mereka ditentukan oleh takdir, nasib atau faktor-faktor luaran yang lain.

Murid-murid yang memiliki lokus kawalan dalaman mempunyai tahap motivasi intrinstik yang tinggi kerana mereka percaya bahawa kejayaan mereka ditentukan oleh perbuatan mereka sendiri. Justeru, guru-guru boleh memotivasikan golongan ini dengan lebih mudah. Berbanding dengan mereka yang berpegang kepada lokus kawalan luaran yang percaya bahawa kejayaan mereka ditentukan oleh orang lain serta keadaan persekitaran yang menentukan kejayaan mereka. Mereka merasakan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah sebarang keadaan yang terjadi dalam kehidupan mereka.

Mereka perlu menyakinkan serta mengubah pendirian mereka sebelum guru-guru dapat memotivasikan mereka. Motivasi yang tinggi dapat menggalakkan mereka berusaha ke arah pencapaian akademik yang tinggi.

(v)          Ketidakupayaan Yang Dipelajari – Berputus Asa
Guru-guru dapat memotivasikan murid-murid yang berputus asa agar lebih berusaha untuk mencapai kejayaan akademik. Tahap motivasi akan menurun apabila mereka gagal mencapai kejayaan, tambahan pula apabila guru-guru sering menggunakan  contoh-contoh kegagalan para murid berkenaan.

Para guru perlu memberikan motivasi kepada para murid bahawa kegagalan mereka merupakan satu cabaran untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. Guru-guru juga boleh menggunakan motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik untuk menggalakkan murid mencuba lagi dan tidak mudah mengaku kalah. Selain itu, guru-guru juga boleh menggalakkan murid-murid yang lemah ini menggunakan kemahiran belajar yang sistematik serta jadual belajar yang konsisten ke arah kecemerlangan akademik.

Justeru, para guru perlu mempunyai kesabaran dan ketabahan dalam memotivasikan murid serta melihat kegagalan akademik sebagai satu peluang untuk memperbaiki diri dengan mengikis semua kelemahan yang ada dalam diri mereka.

(vi)         Persekitaran Murid
Persekitaran pembelajaran yang membina boleh memotivasikan murid-murid. Persekitaran sebegini boleh disediakan oleh pihak sekolah serta ibu bapa di rumah. Persekitaran bilik darjah yang kondusif dapat meningkatkan motivasi intrinsik murid-murid dan dapat mengikuti pengajaran guru dengan lebih mudah dan berkesan. Oleh itu, pihak sekolah perlu menyediakan persekitaran yang selamat serta bebas daripada masalah disiplin.

Sikap para guru yang prihatin serta berdedikasi akan dapat memotivasikan para murid dan lantas mereka boleh menunjukkan pencapaian akademik yang bagus di dalam bilik darjah. Selain itu, peranan ibu bapa juga sama penting untuk memotivasikan para murid ketika berada di rumah. Antaranya, ibu bapa perlu menyediakan persekitaran yang kondusif, sentiasa prihatin, memberikan sokongan kepada anak-anak mereka terutama dalam pencapaian akademik. Contohnya, ibu bapa perlu menyediakan ruang yang selesa untuk mereka belajar di rumah.

Cara-cara Bagaimana Guru-guru Dapat Meningkatkan Motivasi Murid-murid.

Guru-guru mencipta suasana pendidikan yang memberikan motivasi terhadap murid-murid secara konsisten untuk mencapai kejayaan akademik. Antara situasi pendidikan yang perlu diberi penekanan oleh para  guru ialah;

(i)            Aktiviti Pembelajaran
Antara aktiviti pembelajaran yang boleh memotivasikan murid-murid ialah memastikan penglibatan aktif dalam semua aktiviti pembelajaran sama ada di dalam mahupun di luar bilik darjah. Penglibatan ini akan melahirkan perasaan ingin tahu yang merupakan naluri semulajadi kanak-kanak.

Selain itu, guru-guru mesti meningkatkan motivasi intrinstik murid-murid menerusi aktiviti-aktiviti penerokaan dan penemuan penyelidikan. Mereka juga boleh menggunakan strategi pembelajaran seperti kuiz, pertandingan dan ujian ringkas.

(ii)          Matlamat Pembelajaran
Guru-guru perlu memberikan tugasan yang bersesuaian dengan kemampuan tahap murid-murid agar matlamat pembelajaran para guru boleh tercapai. Murid-murid akan berusaha mencapai matlamat pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru. Sekiranya mereka berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru, mereka akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk menyelesaikan tugasan guru yang seterusnya.

Selain daripada mempelbagaikan strategi pembelajaran berasaskan kuiz, permainan, lakonan dan sebagainya, para guru juga boleh menggunakan internet dan komputer di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Strategi pembelajaran ini akan dapat menarik perhatian untuk melengkapkan tugasan mereka secara talian.

Persekitaran Pengajaran Dan Pembelajaran

Persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif untuk murid-murid dapat meningkatkan motivasi murid-murid. Guru yakin dengan menggunakan motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik dapat meningkatkan pencapaian murid-murid. Teknik-teknik motivasi yang sesuai dengan pengajaran dan pembelajaran, dapat meningkatkan penglibatan dan penyertaan anak murid di dalam bilik darjah. Lantas, dapat menyerlahkan potensi yang tersembunyi pada diri mereka dan dapat meningkatkan pencapaian akademik.

Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dengan guru-guru yang sering mengambil berat serta guru-guru yang menghiburkan dapat menarik minat murid-murid untuk mengikut proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu membina kepercayaan dan ikatan dengan murid-murid. Untuk mencapainya para guru mesti mempunyai komunikasi yang positif. Misalnya, memberikan senyuman dan mengangguk kepala apabila berinteraksi dengan guru.

Pembelajaran Koperatif dan Kolaboratif

Pembelajaran akan lebih berkesan sekiranya anak murid dipecahkan dalam kumpulan-kumpulan yang kecil. Mereka dengan mudah mengingati dan memahami bahan pembelajaran yang diberikan oleh guru.  Pembelajaran seperti ini dikenali sebagai pembelajaran koperatif. Hasil pembelajaran akan memberikan manfaat kepada mereka sama ada secara individu ataupun kumpulan.

Manakala pembelajaran kolaboratif pula murid-murid akan bekerjasama dalam kumpulan-kumpulan kecil ini untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan serta saling bantu-membantu antara satu sama lain. Kedua-dua teknik pembelajaran ini dapat meningkatkan motivasi terhadap anak murid untuk mencapai kecemerlangan akademik. Kerjasama dalam kalangan kumpulan akan mencetus satu dorongan dan motivasi terutamanya kepada murid-murid yang mempunyai pencapaian yang rendah untuk terus meningkatkan prestasi mereka.

Peneguhan Positif dan Negatif

Peneguhan positif dan negatif dapat memotivasikan murid-murid serta dapat membantu para guru mendisiplin mereka supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

Guru-guru perlu bijak menggunakan kedua-dua peneguhan ini seperti mana yang disarankan oleh Teori Peneguhan Skinner. Peneguhan ini digunakan bertujuan sama ada untuk meningkatkan prestasi akademik mereka ataupun untuk mengawal tingkah laku mereka.

Peneguhan positif bertujuan untuk memberikan galakan kepada murid-murid untuk mencapai matlamat dan hasil pembelajaran yang ditetapkan oleh para guru. Manakala peneguhan negatif pula untuk mengelakkan gangguan tingkah laku murid yang boleh menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.

Namun, guru-guru perlu bersikap adil dalam memberikan peneguhan kepada murid. Justeru, perancangan perlu dibuat bagi memastikan peneguhan positif dan negatif khusus bagi setiap tingkah laku berpatutan dengan setiap tingkah laku mereka kerana akan memberikan implikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

IMPLIKASI MOTIVASI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Motivasi mempunyai beberapa kesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terutamanya sebelum, sewaktu dan selepas proses berkenaan. Guru-guru perlu mengenalpasti secara sistematik bagaimana pengajaran dan aktiviti-aktiviti yang boleh memotivasikan murid-murid.

Sebelum Proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Sebelum proses pengajaran dan pembelajaran, guru-guru perlu membuat rancangan mengajar dan alat-alat bantuan pengajaran berkaitan yang akan digunakan.  Selain itu, guru-guru juga merancang bagaimana untuk menimbulkan rasa minat murid-murid sepanjang pelajaran selepas tamat pengajaran. Selain penerapan motivasi ekstrinsik seperti pelekat bintang dalam carta kemajuan kelas perlu juga menerapkan motivasi intrinsik.

Guru-guru juga boleh menimbulkan minat dalam kalangan murid mengenai topik yang diajar seperti mengarahkan perhatian mereka membaca bahan yang relevan, memasang poster dan gambar rajah berkaitan di dinding bilik darjah atau membawa barang-barang untuk dipamerkan. Untuk menggalakkan dan memotivasikan menggunakan kemahiran teknologi maklumat (ICT), maka guru-guru perlu menyusun penggunaan makmal agar memastikan kesemua murid dapat menggunakan komputer.

Penglibatan murid dalam aktiviti-aktiviti kecil seperti mengumpulkan bahan-bahan keratan-keratan akhbar atau membawa barang dari rumah, secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab serta minat dalam kalangan mereka. Sebelum memulakan sesi pelajaran, guru-guru boleh menimbulkan rasa minat dalam kalangan murid-murid mengenai topik yang ingin dipelajari. Contohnya, guru boleh menggunakan set induksi yang menarik seperti membawa arnab ke dalam bilik darjah semasa mengajar mata pelajaran Sains.

Bagi mendorong minat terhadap pelajaran, guru-guru boleh mengemukakan soalan-soalan yang mencabar serta mengkehendaki mereka meneroka dan mengetahui sendiri mengenai sesuatu topik tersebut. Apabila timbulnya minat, mereka akan mempunyai motivasi intrinsik untuk mengikuti langkah pengajaran yang berikutnya.

Semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru-guru boleh menggunakan pelbagai pendekatan bagi memperkenalkan sesuatu topik dengan melibatkan penglibatan murid-murid samada dalam perbincangan atau aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan topik. Penghargaan dari guru amat penting kerana akan dapat memotivasikan mereka mengikuti pelajaran di bilik darjah. Contohnya, guru sering melakukan aktiviti yang berkaitan dengan kata-kata lisan seperti kerja yang cemerlang, kerja awak ini kemas ataupun isyarat tubuh badan seperti anggukan atau senyuman.

Bagi murid-murid yang mempunyai motivasi intrinsik yang rendah, guru-guru boleh memberikan ganjaran kecil seperti gula-gula, bintang pada carta yang membawa rasa pencapaian dan penghargaan yang bagus. Walaupun ganjaran yang diberikan oleh guru berperanan sebagai motivasi ekstrinsik tetapi juga boleh menghasilkan motivasi intrinsik pada sesetengah murid.

Guru-guru mesti mengelak daripada mengkritik murid-murid semasa pelajaran berlangsung. Mereka perlu mendapatkan kepercayaan dan penghormatan serta mudah didekati oleh para murid. Selain itu, suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan guru yang mempunyai komunikasi yang berkesan dapat memotivasikan murid-muridnya mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan baik. 

Selepas Proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Selepas tamat sesi pelajaran, murid-murid diberikan waktu untuk membuat refleksi dan dicatatkan di dalam buku catatan mereka. Proses ini dapat membantu murid-murid menilai kekuatan dan kelemahan yang terdapat pada diri mereka supaya guru dapat memberikan pertolongan yang khusus. Penilaian guru boleh dibuat melalui kerja rumah atau secara lisan di penghujung pengajaran, guru-guru boleh memberikan kata-kata perangsang terhadap pencapaian matlamat pembelajaran mereka. Maklum balas ini akan membina dan memotivasikan murid-murid.

Guru-guru boleh menyediakan aktiviti-aktiviti lanjutan selepas proses pengajaran dan pembelajaran seperti kuiz-kuiz dalam talian yang membolehkan murid-murid menjawab kuiz pada waktu lapang. Sebagai guru yang prihatin, perhatian yang sepenuhnya perlu diberikan kepada pelajar yang kurang cerdas dengan menyediakan latihan tambahan untuk mencapai hasil pembelajaran.

Sikap prihatin juga perlu diberikan kepada murid-murid yang tidak mempunyai keperluan asas yang mencukupi seperti mereka yang pergi ke sekolah tanpa buku dan alatan tulis atau tidak mempunyai makanan yang sihat di rumah. Justeru, guru-guru perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk membantu murid-murid terbabit. Contohnya, memasukkan mereka dalam skim makanan tambahan, bekalkan buku dan alat tulis serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid agar tidak menghina murid yang miskin.

Implikasi penggunaan teknik-teknik motivasi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan penglibatan dan pencapaian akademik murid-murid. Justeru, guru mesti mempercayai bahawa pencapaian semua murid bolah dipertingkatkan melalui motivasi intrinsik dan ekstrinsik.

BIBLIOGRAFI

Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2006). Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan
Untuk KPLI (Sekolah Rendah dan Menengah). Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman.

Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI
Psikologi. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.


Lokus Kawalan (Locus of Control) Part 4 dicapai pada 16 Ogos 2012 di

Mok Soon Sang (2011). Nota Intisari Ilmu Pendidikan Psikologi Pendidikan.
Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Robert E. Slavin (2003). Seventh Edition Psychology Theory and Practice. United
State of America: Allyn and Bacon, Permissions Department.

 
     Norhayati Binti Kasim
DPLI  MU/RBT

1 ulasan:

  1. saya jadikan kajian puan sebagai rujukan... halalkan ilmu ini ya...

    BalasPadam