Terdapat dua pendapat
tentang motivasi dan pengaruhnya iaitu Teori Humanistik oleh Abraham Maslow dan
Teori Pelaziman Operan oleh B. F. Skinner.
Hirarki Keperluan Maslow.
ABRAHAM MASLOW
(1908 – 1970)
Abraham Maslow (1908-1970) telah menggunakan pendekatan
humanistik berdasarkan dua perkara iaitu keperluan-keperluan defisit dan
keperluan-keperluan perkembangan manusia. Maslow berpendapat bahawa seseorang
individu itu akan memuaskan keperluan
defisitnya terlebih dahulu. Beliau telah mengenalpasti empat perkara asas yang
difikir utama:
(i). Keperluan Fisiologi
Keperluan
manusia yang paling asas adalah untuk hidup. Manusia perlukan udara, air,
makanan dan tempat tinggal bagi memenuhi kehendak pertama dan utama ini. Pada
masa ini, keperluan lain tidak sama sekali menjadi tumpuan selagi kehendak asas
ini dipenuhi.
(ii). Keperluan Keselamatan
dan Perlindungan
Setelah
keperluan ini dicapai, manusia akan mencari keselamatan hidup, kestabilan kerja,
jagaan masyarakat, undang-undang serta membebaskan diri daripada ancaman luaran
mahupun dalaman. Tahap keselamatan ini amat diperlukan bagi menjamin
kesejahteraan hidup.
(iii). Keperluan Kasih
Sayang dan Kepunyaan
Dalam
memenuhi keperluan kasih sayang pula, manusia perlukan hubungan dengan insan
lain. Kita semua pada asasnya ialah manusia yang bersosial, iaitu kita perlukan
kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu, manusia ini sememangnya tidak boleh
wujud bersendirian.
(iv). Keperluan Penghargaan
Kendiri
Tahap
seterusnya adalah kehendak untuk penghargaan kendiri. Kita mahu berkuasa,
sekurang-kurangnya ke atas diri kita sendiri. Pada masa yang sama, kita juga
perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta kebebasan. Seterusnya manusia
ingin dihormati, disanjungi dan kehendak status dalam hidup.
Seseorang
individu pada mulanya akan bermotivasi untuk menyingkirkan keperluan asas
fisiologi dan mencari makanan dan minuman sebelum mencari tempat untuk berteduh
atau rumah untuk didiami. Setelah seseorang individu itu dapat memperolehi
makanan dan tempat tinggal yang selesa, mereka lebih bermotivasi untuk bersama
dengan orang lain di dalam masyarakat atau berkahwin. Hanya setelah memperolehi
kepuasan bagi ketiga-tiga keperluan asas ini, barulah seseorang individu itu
akan membina penghargaan kendiri dengan memperolehi kemahiran dan pengetahuan
tertentu untuk mencapai penghargaan dalam bidang tertentu. Pada asasnya konsep
Maslow hanya menfokuskan kepada satu perkembangan sahaja iaitu penyempurnaan
kendiri. Namun, beliau telah menambah beberapa aspek-aspek lain iaitu:
(i)
Kognitif iaitu untuk
mengetahui, memahami dan mencari ilmu;
Setiap individu akan mencari pengetahuan dan memahami dunia
sekelilingnya apabila keperluan asas telah dipenuhi. Mereka akan mencuba
mencari maklumat dan pengetahuan baru dan cuba menyingkirkan pengetahuan defisit
yang sedia ada.
(ii)
Astetik iaitu penghargaan
simetri, bentuk-bentuk tersusun dan kecantikan;
Seterusnya, seseorang individu itu akan menjurus kepada satu tahap lagi
iaitu mereka mula menghargai perkara-perkara yang indah dalam kehidupan seperti
mula menyedari kecantikan dan keadaan sekeliling yang teratur. Selain itu,
mereka akan juga mula menikmati dan menghargai seni, teater, hobi-hobi yang
luar biasa seperti memandu kapal terbang atau menyertai Kelab Berpidato untuk
meningkatkan kemahiran berpidato mereka.
(iii)
Penyempurnaan kendiri (Self-actualisation) iaitu untuk mencari
keperluan diri
dan menyedari potensi
diri;
Penglibatan individu itu dalam pelbagai hobi yang berlainan kerana
mereka berusaha untuk mencapai keperluan penyempurnaan kendiri yang tinggi.
Penyempurnaan kendiri merujuk kepada tahap di mana individu itu merasakan diri
mereka telah berjaya menggunakan potensi insaniah mereka yang optima. Pada
peringkat ini, mereka akan berkhidmat untuk menyelesaikan masalah-masalah
global seperti menangani isu-isu alam sekitar.
(iv)
Meluaskan kendiri (Self-transcendence) iaitu untuk
menghubungkaitkan dengan segala keperluan dunia, iaitu sesuatu yang lebih luas
daripada diri. Pada peringkat ini, manusia juga mempunyai keinginan untuk
membantu orang lain serta mencari keperluan diri dan sedar akan potensi
masing-masing.
Implikasi Teori Maslow dalam Amalan Bilik
Darjah.
Menurut Maslow, keperluan fisiologi yang juga dikenali sebagai keperluan
primer ialah merupakan keperluan yang paling asas. Keperluan ini melibatkan keperluan
untuk mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal. Membicarakan teori
keperluan Maslow dalam konteks pendidikan, keberkesanan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah bergantung kepada setakat mana hierarki
keperluan-keperluan murid dipenuhi. Contohnya, murid-murid yang kurang makanan akan menyebabkan kesihatan pelajar
terbabit akan terjejas. Hal ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat menumpukan
perhatian sepenuh serta tidak bermotivasi untuk belajar. Justeru, para guru
perlu mengambil berat kepada tanda-tanda kekurangan dari segi fizikal pelajar
itu.
Selain itu, guru mempunyai sifat penyayang untuk memenuhi keperluan
kasih sayang yang mungkin tidak diperolehi di rumah. Memupuk nilai penghargaan
kendiri dalam kalangan murid serta memberikan motivasi dan peneguhan yangs
sesuai supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Guru juga
boleh merancang aktiviti pengajaran mengikut kebolehan murid agar dapat
meningkatkan keperluan penyuburan serta dapat memperolehi pengetahuan dan
mennikmati karya atau ciptaan estetik yang bermutu tinggi.
Di samping itu, keluarga yang bahagia dapat memenuhi keperluan asas
mereka. Sebagai murid sekolah, mereka memerlukan individu dewasa terutamanya
ibu bapa agar keperluan mereka dilindungi. Sekiranya keperluan asas tidak
dipenuhi atau keselamatan mereka tidak terjamin, akan menjejaskan perkembangan
personaliti mereka. Hanya setelah mereka mencapai tahap keperluan fizikal,
keselamatan diri dan penerimaan kasih sayang dipenuhi, mereka boleh melangkah
ke tahap yang seterusnya dalam Hierarki Keperluan Maslow.
Penghargaan diri yang positif
akan mempengaruhi sikap kanak-kanak dalam sistem persekolahan dan mereka akan
dapat menerima seterusnya menguasai ilmu dan kemahiran dengan mudah. Mereka
akan menetapkan matlamat cita-cita mereka dan memastikan yang mereka akan dapat
mencapainya. Namun begitu, Maslow juga dapat menerima hakikat bahawa tidak
semua kanak-kanak dapat melalui setiap peringkat yang tertera dalam hierarki
keperluan beliau.
Teori
Peneguhan Perlakuan Skinner
BURRHUS FREDERIC SKINNER
(1904-1990)
Teori peneguhan perlakuan B. F. Skinner secara
keseluruhannya berdasarkan pembentukan kelakuan manusia melalui peneguhan.
Peneguhan ialah perkara yang
dilakukan untuk menggalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Mengikut
Skinner, beliau telah membahagikan pengukuhan kepada dua jenis iaitu peneguhan
positif dan peneguhan negatif.
i.
Peneguhan positif
Peneguhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran
setelah sesuatu perlakuan yang positif ditunjukkan akan menyebabkan perlakuan
itu diulangi dan diperkuatkan lagi.
Dalam bilik darjah, peneguhan positif akan memberikan suatu bentuk motivasi
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contoh-contoh
peneguhan positif yang boleh diberikan dalam bilik darjah ialah seperti
memberikan kata-kata pujian selepas pelajar melakukan sesuatu kerja atau
menjawab soalan, memberikan senyuman, menepuk bahu pelajar, memberi hadiah dan
sebagainya. Peneguhan positif
yang diberikan oleh guru dapat mendorong pelajar menghasilkan kerja yang
bermutu tinggi. Peneguhan yang diberi juga mestilah jelas dan bersistematik.
Hanya tingkah laku yang spesifik sahaja yang perlu diberi peneguhan. Guru
juga mestilah ikhlas ketika memberi peneguhan.
ii.
Peneguhan negatif
Peneguhan negatif ditafsirkan sebagai hukuman,
tindakan atau denda yang digunakan oleh seseorang guru bagi menghalang
murid-muridnya daripada berkelakuan yang tidak diingini. Contohnya, guru boleh mengurangkan
waktu rehatnya selama lima minit berbanding dengan kawan-kawannya kerana
membuat bising sewaktu kelas matematik. Tindakan ini bagi menghalang murid
berkenaan daripada terus mengulangi kelakuan yang tidak diingini tersebut.
Menurut teori ini, guru-guru dapat memotivasikan
murid-murid dengan memberikan peneguhan secara positif dalam bentuk hadiah,
kata-kata pujian, kata-kata perangsang ataupun tanda penghargaan. Sebaliknya,
guru juga boleh menghapuskan kelakuan-kelakuan yang bermasalah dengan
menggunakan peneguhan negatif seperti hukuman, denda dan sebagainya.
Kesan
Motivasi Terhadap Murid.
Kejayaan atau kegagalan objektif dan hasil-hasil
pembelajaran adalah bergantung sejauh mana murid-murid mempunyai motivasi untuk
bertindak. Sekiranya guru dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif,
murid akan berasa diri dihargai secara tidak langsung mereka mempunyai motivasi
yang secukupnya untuk mencapai prestasi yang tinggi dalam aktiviti kokurikulum
dan kurikulum.
Justeru, guru-guru dan sistem persekolahan memainkan
peranan yang besar dalam mengekalkan motivasi murid-murid sepanjang
persekolahan mereka dan kemudiannya mempunyai daya motivasi untuk menamatkan
persekolahan untuk berjaya dalam hidup. Terdapat beberapa kesan-kesan motivasi
ke atas murid-murid iaitu;
(i)
Kerisauan.
Akibat motivasi akan menghasilkan kerisauan.
Kerisauan boleh mendorong seseorang itu melakukan sesuatu tingkahlaku.
Seseorang murid itu berasa resah dan bimbang sekiranya tidak dapat mencapai
kejayaan. Ini kerana murid-murid telah menetapkan matlamat atau sasaran yang
terlalu tinggi akan berasa resah sekiranya mereka tidak berupaya mencapai
sasaran tersebut. Contohnya, murid yang bijak telah menetapkan sasaran bagi
mencapai keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR, namun mereka berasa resah dan
bimbang sekiranya sasaran itu tidak dapat dicapai. Kerisauan ini mungkin
menjadi satu masalah yang begitu teruk sehingga berlakunya masalah pengsan,
menangis, jari jemari menjadi kaku ataupun jatuh sakit.
Sebilangan murid-murid memerlukan tahap kerisauan
yang sederhana untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Jelas
bahawa murid-murid perlu berasa resah sekiranya ingin mencapai kecemerlangan.
Sebaliknya, sesetengah guru perlu menetapkan hukuman yang keras, agar
murid-murid akan berasa cemas dan ini dapat mendorong mereka mengubah sikap
terhadap pembelajaran mereka untuk berjaya.
(ii)
Perubahan sikap
Motivasi
juga dapat menghasilkan perubahan sikap daripada sikap negatif kepada sikap
yang positif. Murid-murid yang mempamerkan sikap yang tidak diingini dapat
menunjukkan perubahan sikap mereka sekiranya mereka diberikan dorongan melalui
teknik-teknik peneguhan positif oleh guru mereka. Peneguhan-peneguhan positif seperti kata-kata perangsang, pujian,
nasihat serta penggunaan kata-kata motivasi peribadi yang positif dapat
membantu murid-murid yang nakal untuk membuang sikap negatif mereka ke arah
usaha mencapai kejayaan.
Murid-murid
yang suka bermain dan tidak serius dalam pembelajaran boleh dimotivasikan oleh
si guru secara ekstrinstik dengan memberikan ganjaran yang kecil bagi kejayaan
yang ingin dicapai. Contohnya, seorang guru berhasrat untuk menghadiahkan
sebatang pensil setelah anak muridnya dapat menulis dengan tulisan yang cantik,
secara tidak langsung mereka akan terdorong untuk menulis dengan kemas. Namun
begitu, murid yang mempunyai perasaan harga diri yang rendah sukar
dimotivasikan dengan menggunakan ganjaran. Justeru, dengan galakan dan dorongan
yang sesuai dan berterusan, sikap ini akan dapat diubah.
(iii)
Perasaan Ingin Tahu
Perasaan
ingin tahu boleh boleh timbulkan melalui motivasi. Kanak-kanak mempunyai
perasaan semulajadi untuk meneroka keadaan persekitaran mereka. Contohnya,
apabila seorang guru memberi peluang kepada anak muridnya meneroka keadaan alam
sekitar seperti di Taman Rama-rama, mereka akan bersikap ingin tahu dan terus
mengambil tindakan untuk meneroka dan cuba mencari jawapan. Pembelajaran yang
mendalam ini akan terus disimpan dalam ingatan jangka panjang.
Selain
itu, guru-guru juga boleh menggunakan peristiwa-peristiwa, bahan nyata ataupun
persembahan slaid sewaktu mengajar akan menimbulkan perasaan ingin tahu murid-murid
untuk belajar dengan lebih lanjut bagi mengikuti pengajaran guru dengan lebih
teliti. Di samping itu, guru juga boleh menggunakan kemahiran penyoalan yang tinggi, perasaan ingin tahu murid-murid
akan tercetus dengan sendirinya.
(iv)
Lokus Kawalan
Lokus
kawalan dianggap sebagai sebuah aspek yang penting dalam personaliti. Konsep
ini telah dikembangkan oleh Julian Rotter pada tahun 1950-an. Ia merujuk kepada
pandangan seseorang individu terhadap punca-punca utama berlakunya sesuatu
peristiwa dalam hidupnya. Lokus kawalan terbahagi kepada dua jenis iaitu lokus
kawalan dalaman dan lokus kawalan luaran. Mereka yang memegang lokus kawalan
dalaman ialah mereka yang percaya bahawa mereka yang akan mengawal nasib mereka
sendiri. Mereka cenderung bahawa kemahiran, keupayaan dan usaha sendiri
menentukan sebahagian pengalaman hidup mereka. Manakala mereka berpegang kepada
lokus kawalan luaran pula, mereka percaya bahawa kehidupan mereka ditentukan
oleh takdir, nasib atau faktor-faktor luaran yang lain.
Murid-murid
yang memiliki lokus kawalan dalaman mempunyai tahap motivasi intrinstik yang
tinggi kerana mereka percaya bahawa kejayaan mereka ditentukan oleh perbuatan
mereka sendiri. Justeru, guru-guru boleh memotivasikan golongan ini dengan
lebih mudah. Berbanding dengan mereka yang berpegang kepada lokus kawalan
luaran yang percaya bahawa kejayaan mereka ditentukan oleh orang lain serta
keadaan persekitaran yang menentukan kejayaan mereka. Mereka merasakan tidak
mempunyai kuasa untuk mengubah sebarang keadaan yang terjadi dalam kehidupan
mereka.
Mereka
perlu menyakinkan serta mengubah pendirian mereka sebelum guru-guru dapat
memotivasikan mereka. Motivasi yang tinggi dapat menggalakkan mereka berusaha
ke arah pencapaian akademik yang tinggi.
(v)
Ketidakupayaan Yang
Dipelajari – Berputus Asa
Guru-guru
dapat memotivasikan murid-murid yang berputus asa agar lebih berusaha untuk mencapai
kejayaan akademik. Tahap motivasi akan menurun apabila mereka gagal mencapai
kejayaan, tambahan pula apabila guru-guru sering menggunakan contoh-contoh kegagalan para murid berkenaan.
Para
guru perlu memberikan motivasi kepada para murid bahawa kegagalan mereka
merupakan satu cabaran untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. Guru-guru juga
boleh menggunakan motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik untuk menggalakkan
murid mencuba lagi dan tidak mudah mengaku kalah. Selain itu, guru-guru juga
boleh menggalakkan murid-murid yang lemah ini menggunakan kemahiran belajar
yang sistematik serta jadual belajar yang konsisten ke arah kecemerlangan
akademik.
Justeru,
para guru perlu mempunyai kesabaran dan ketabahan dalam memotivasikan murid
serta melihat kegagalan akademik sebagai satu peluang untuk memperbaiki diri
dengan mengikis semua kelemahan yang ada dalam diri mereka.
(vi)
Persekitaran Murid
Persekitaran
pembelajaran yang membina boleh memotivasikan murid-murid. Persekitaran sebegini
boleh disediakan oleh pihak sekolah serta ibu bapa di rumah. Persekitaran bilik
darjah yang kondusif dapat meningkatkan motivasi intrinsik murid-murid dan
dapat mengikuti pengajaran guru dengan lebih mudah dan berkesan. Oleh itu,
pihak sekolah perlu menyediakan persekitaran yang selamat serta bebas daripada masalah
disiplin.
Sikap
para guru yang prihatin serta berdedikasi akan dapat memotivasikan para murid
dan lantas mereka boleh menunjukkan pencapaian akademik yang bagus di dalam
bilik darjah. Selain itu, peranan ibu bapa juga sama penting untuk
memotivasikan para murid ketika berada di rumah. Antaranya, ibu bapa perlu
menyediakan persekitaran yang kondusif, sentiasa prihatin, memberikan sokongan
kepada anak-anak mereka terutama dalam pencapaian akademik. Contohnya, ibu bapa
perlu menyediakan ruang yang selesa untuk mereka belajar di rumah.
Cara-cara Bagaimana Guru-guru Dapat
Meningkatkan Motivasi Murid-murid.
Guru-guru
mencipta suasana pendidikan yang memberikan motivasi terhadap murid-murid
secara konsisten untuk mencapai kejayaan akademik. Antara situasi pendidikan
yang perlu diberi penekanan oleh para
guru ialah;
(i)
Aktiviti
Pembelajaran
Antara
aktiviti pembelajaran yang boleh memotivasikan murid-murid ialah memastikan
penglibatan aktif dalam semua aktiviti pembelajaran sama ada di dalam mahupun
di luar bilik darjah. Penglibatan ini akan melahirkan perasaan ingin tahu yang
merupakan naluri semulajadi kanak-kanak.
Selain
itu, guru-guru mesti meningkatkan motivasi intrinstik murid-murid menerusi
aktiviti-aktiviti penerokaan dan penemuan penyelidikan. Mereka juga boleh
menggunakan strategi pembelajaran seperti kuiz, pertandingan dan ujian ringkas.
(ii)
Matlamat
Pembelajaran
Guru-guru
perlu memberikan tugasan yang bersesuaian dengan kemampuan tahap murid-murid
agar matlamat pembelajaran para guru boleh tercapai. Murid-murid akan berusaha
mencapai matlamat pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru. Sekiranya
mereka berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru, mereka akan
mempunyai motivasi yang tinggi untuk menyelesaikan tugasan guru yang
seterusnya.
Selain
daripada mempelbagaikan strategi pembelajaran berasaskan kuiz, permainan,
lakonan dan sebagainya, para guru juga boleh menggunakan internet dan komputer
di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Strategi pembelajaran ini akan
dapat menarik perhatian untuk melengkapkan tugasan mereka secara talian.
Persekitaran Pengajaran Dan Pembelajaran
Persekitaran
pengajaran dan pembelajaran yang kondusif untuk murid-murid dapat meningkatkan
motivasi murid-murid. Guru yakin dengan menggunakan motivasi intrinsik dan
motivasi ekstrinsik dapat meningkatkan pencapaian murid-murid. Teknik-teknik
motivasi yang sesuai dengan pengajaran dan pembelajaran, dapat meningkatkan
penglibatan dan penyertaan anak murid di dalam bilik darjah. Lantas, dapat
menyerlahkan potensi yang tersembunyi pada diri mereka dan dapat meningkatkan
pencapaian akademik.
Persekitaran
pembelajaran yang menyeronokkan dengan guru-guru yang sering mengambil berat
serta guru-guru yang menghiburkan dapat menarik minat murid-murid untuk
mengikut proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu membina
kepercayaan dan ikatan dengan murid-murid. Untuk mencapainya para guru mesti
mempunyai komunikasi yang positif. Misalnya, memberikan senyuman dan mengangguk
kepala apabila berinteraksi dengan guru.
Pembelajaran Koperatif dan Kolaboratif
Pembelajaran
akan lebih berkesan sekiranya anak murid dipecahkan dalam kumpulan-kumpulan
yang kecil. Mereka dengan mudah mengingati dan memahami bahan pembelajaran yang
diberikan oleh guru. Pembelajaran
seperti ini dikenali sebagai pembelajaran koperatif. Hasil pembelajaran akan
memberikan manfaat kepada mereka sama ada secara individu ataupun kumpulan.
Manakala
pembelajaran kolaboratif pula murid-murid akan bekerjasama dalam
kumpulan-kumpulan kecil ini untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan serta
saling bantu-membantu antara satu sama lain. Kedua-dua teknik pembelajaran ini
dapat meningkatkan motivasi terhadap anak murid untuk mencapai kecemerlangan
akademik. Kerjasama dalam kalangan kumpulan akan mencetus satu dorongan dan
motivasi terutamanya kepada murid-murid yang mempunyai pencapaian yang rendah
untuk terus meningkatkan prestasi mereka.
Peneguhan Positif dan Negatif
Peneguhan
positif dan negatif dapat memotivasikan murid-murid serta dapat membantu para
guru mendisiplin mereka supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan
dengan lancar.
Guru-guru
perlu bijak menggunakan kedua-dua peneguhan ini seperti mana yang disarankan
oleh Teori Peneguhan Skinner. Peneguhan ini digunakan bertujuan sama ada untuk
meningkatkan prestasi akademik mereka ataupun untuk mengawal tingkah laku
mereka.
Peneguhan
positif bertujuan untuk memberikan galakan kepada murid-murid untuk mencapai
matlamat dan hasil pembelajaran yang ditetapkan oleh para guru. Manakala
peneguhan negatif pula untuk mengelakkan gangguan tingkah laku murid yang boleh
menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Namun,
guru-guru perlu bersikap adil dalam memberikan peneguhan kepada murid. Justeru,
perancangan perlu dibuat bagi memastikan peneguhan positif dan negatif khusus
bagi setiap tingkah laku berpatutan dengan setiap tingkah laku mereka kerana
akan memberikan implikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
IMPLIKASI MOTIVASI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Motivasi
mempunyai beberapa kesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terutamanya
sebelum, sewaktu dan selepas proses berkenaan. Guru-guru perlu mengenalpasti
secara sistematik bagaimana pengajaran dan aktiviti-aktiviti yang boleh memotivasikan
murid-murid.
Sebelum Proses Pengajaran dan Pembelajaran.
Sebelum
proses pengajaran dan pembelajaran, guru-guru perlu membuat rancangan mengajar
dan alat-alat bantuan pengajaran berkaitan yang akan digunakan. Selain itu, guru-guru juga merancang
bagaimana untuk menimbulkan rasa minat murid-murid sepanjang pelajaran selepas
tamat pengajaran. Selain penerapan motivasi ekstrinsik seperti pelekat bintang
dalam carta kemajuan kelas perlu juga menerapkan motivasi intrinsik.
Guru-guru
juga boleh menimbulkan minat dalam kalangan murid mengenai topik yang diajar
seperti mengarahkan perhatian mereka membaca bahan yang relevan, memasang
poster dan gambar rajah berkaitan di dinding bilik darjah atau membawa
barang-barang untuk dipamerkan. Untuk menggalakkan dan memotivasikan
menggunakan kemahiran teknologi maklumat (ICT), maka guru-guru perlu menyusun
penggunaan makmal agar memastikan kesemua murid dapat menggunakan komputer.
Penglibatan
murid dalam aktiviti-aktiviti kecil seperti mengumpulkan bahan-bahan
keratan-keratan akhbar atau membawa barang dari rumah, secara tidak langsung
dapat memupuk rasa tanggungjawab serta minat dalam kalangan mereka. Sebelum
memulakan sesi pelajaran, guru-guru boleh menimbulkan rasa minat dalam kalangan
murid-murid mengenai topik yang ingin dipelajari. Contohnya, guru boleh
menggunakan set induksi yang menarik seperti membawa arnab ke dalam bilik
darjah semasa mengajar mata pelajaran Sains.
Bagi
mendorong minat terhadap pelajaran, guru-guru boleh mengemukakan soalan-soalan
yang mencabar serta mengkehendaki mereka meneroka dan mengetahui sendiri
mengenai sesuatu topik tersebut. Apabila timbulnya minat, mereka akan mempunyai
motivasi intrinsik untuk mengikuti langkah pengajaran yang berikutnya.
Semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran.
Semasa
proses pengajaran dan pembelajaran, guru-guru boleh menggunakan pelbagai
pendekatan bagi memperkenalkan sesuatu topik dengan melibatkan penglibatan
murid-murid samada dalam perbincangan atau aktiviti-aktiviti yang bersesuaian
dengan topik. Penghargaan dari guru amat penting kerana akan dapat
memotivasikan mereka mengikuti pelajaran di bilik darjah. Contohnya, guru
sering melakukan aktiviti yang berkaitan dengan kata-kata lisan seperti kerja
yang cemerlang, kerja awak ini kemas ataupun isyarat tubuh badan seperti
anggukan atau senyuman.
Bagi
murid-murid yang mempunyai motivasi intrinsik yang rendah, guru-guru boleh
memberikan ganjaran kecil seperti gula-gula, bintang pada carta yang membawa
rasa pencapaian dan penghargaan yang bagus. Walaupun ganjaran yang diberikan
oleh guru berperanan sebagai motivasi ekstrinsik tetapi juga boleh menghasilkan
motivasi intrinsik pada sesetengah murid.
Guru-guru
mesti mengelak daripada mengkritik murid-murid semasa pelajaran berlangsung. Mereka
perlu mendapatkan kepercayaan dan penghormatan serta mudah didekati oleh para
murid. Selain itu, suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan guru yang
mempunyai komunikasi yang berkesan dapat memotivasikan murid-muridnya mengikuti
pengajaran dan pembelajaran dengan baik.
Selepas Proses Pengajaran dan Pembelajaran.
Selepas
tamat sesi pelajaran, murid-murid diberikan waktu untuk membuat refleksi dan
dicatatkan di dalam buku catatan mereka. Proses ini dapat membantu murid-murid
menilai kekuatan dan kelemahan yang terdapat pada diri mereka supaya guru dapat
memberikan pertolongan yang khusus. Penilaian guru boleh dibuat melalui kerja
rumah atau secara lisan di penghujung pengajaran, guru-guru boleh memberikan
kata-kata perangsang terhadap pencapaian matlamat pembelajaran mereka. Maklum
balas ini akan membina dan memotivasikan murid-murid.
Guru-guru
boleh menyediakan aktiviti-aktiviti lanjutan selepas proses pengajaran dan
pembelajaran seperti kuiz-kuiz dalam talian yang membolehkan murid-murid menjawab
kuiz pada waktu lapang. Sebagai guru yang prihatin, perhatian yang sepenuhnya
perlu diberikan kepada pelajar yang kurang cerdas dengan menyediakan latihan
tambahan untuk mencapai hasil pembelajaran.
Sikap
prihatin juga perlu diberikan kepada murid-murid yang tidak mempunyai keperluan
asas yang mencukupi seperti mereka yang pergi ke sekolah tanpa buku dan alatan
tulis atau tidak mempunyai makanan yang sihat di rumah. Justeru, guru-guru
perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk membantu murid-murid terbabit.
Contohnya, memasukkan mereka dalam skim makanan tambahan, bekalkan buku dan
alat tulis serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid agar tidak
menghina murid yang miskin.
Implikasi
penggunaan teknik-teknik motivasi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat
meningkatkan penglibatan dan pencapaian akademik murid-murid. Justeru, guru
mesti mempercayai bahawa pencapaian semua murid bolah dipertingkatkan melalui
motivasi intrinsik dan ekstrinsik.
BIBLIOGRAFI
Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2006). Panduan
Ulangkaji Ilmu Pendidikan
Untuk KPLI (Sekolah
Rendah dan Menengah). Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman.
Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI
Psikologi. Kuala Lumpur:
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Lokus
Kawalan (Locus of Control) Part 4 dicapai pada 16 Ogos 2012 di
Mok Soon Sang (2011). Nota Intisari Ilmu Pendidikan Psikologi Pendidikan.
Puchong: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Robert E. Slavin (2003). Seventh Edition Psychology Theory and Practice. United
State of America:
Allyn and Bacon, Permissions Department.
saya jadikan kajian puan sebagai rujukan... halalkan ilmu ini ya...
BalasPadam