1.0 PENGENALAN
1.1 Definisi Tingkah laku
Tingkah laku adalah apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh seseorang individu.
Tingkah laku juga semua tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur dan dinilai
dan sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara
sedar atau separa sedar. Tingkah laku adalah manifestasi fizikal sebarang sikap
yang berasaskan nilai-nilai tertentu. Menurut Lewis M.Beaker (2001),
sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara
sedar atau separa sedar.
Manakala, menurut Garry
Martin dan Joseph Pear (2003),
tingkah laku juga merangkumi aktiviti, aksi, prestasi, bertindakbalas,
tindakan, dan reaksi dari segi teknik, aktiviti yang melibatkan otot-otot,
kelenjar (glandular) dan aktiviti elektrik oleh setiap organ. Pada dasarnya
tingkah laku adalah apa sahaja yang diperkatakan atau dilakukan oleh individu.
Carl Rogers (1999), menekankan bahawa seseorang individu
bertingkah laku mengikut persepsi diri sendiri dan keadaan. Sekiranya individu
itu mempunyai konsep kendiri yang positif maka dia berupaya berinteraksi dan
bertindak dengan lebih yakin. Menurut Al-Ghazali pula dari perspektif Islam,
tingkah laku manusia mempunyai tujuan agama dan kemanusiaan.Tingkah laku normal dan tidak normal
adalah berdasarkan kepada kekerapan dan berlaku sepanjang masa dan mempunyai
masalah psikologi.
Masalah
tingkah laku atau tingkah laku bermasalah pula merupakan tingkah laku yang
tidak normal, iaitu abnormal behavior dalam bahasa Inggeris. Ia boleh
ditakrifkan terkeluar dari nilai dan norma social masyarakat, termasuk sekolah.
Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dirasai,
dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat. Berdasarkan
kajian dan pemerhatian, tingkah laku bermasalah yang tertimbul adalah kerana
kekurangan keupayaan individu dalam proses adaptasi atau pun akomodasi apabila
menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Akibatnya, ia mengganggu emosi dan aktiviti kehidupan
individu yang terlibat dan seterusnya mengganggu pula keharmonian alam
persekitaran semasa proses interaksi berlaku. Mohd. Nazar Mohamad (1990)
mentakrifkan tingkah laku bermasalah seseorang individu sebagai tingkah laku
yang mengganggu perjalanan kehidupannya. Di bawah konteks pendidikan, tingkah
laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah tingkah laku murid yang boleh
menjejaskan kelicinan ataupun keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, khasnya
di dalam bilik darjah.
Tingkah laku bermasalah ialah merujuk
kepada sebarang tingkah laku sama ada positif ataupun negatif yang menjejaskan
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Tingkah laku terbahagi kepada
dua iaitu tingkah laku positif dan tingkah laku negatif. Tingkah laku positif
terbahagi kepada empat iaitu sikap ingin tahu, cepat belajar, proaktif dan
pintar cerdas. Manakala tingkah laku negatif pula terbahagi kepada tiga iaitu
tingkah laku distruktif, distruptif dan sikap bergantung. Sama ada mewarisi tingkah laku bermasalah
positif atau negatif, jika berlaku ia akan menjejaskan keberkesanan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru harus peka
dan berempati terhadap muridnya yang mempunyai tingkah laku bermasalah supaya
menentu dan melaksanakan strategi dan teknik yang sesuai untuk memodifikasikan
tingkah laku mereka yang tidak diingini demi menjaga iklim bilik darjah yang
konduksif dan mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
2.0 FAKTOR YANG MENYEBABKAN MASALAH TINGKAH LAKU
Tingkah laku negatif biasanya
dipengaruhi oleh keadaan persekitaran rumah seperti tidak dapat perhatian dan
kasih sayang daripada ibu bapa. Faktor seterusnya adalah persekitaran sekolah
seperti kurikulum terlalu padat dan berfokus pada peperiksaan. Murid akan rasa
tertekan dan menunjukkan tingkah laku bermasalah disusuli dengan strategi
pengajaran dan pembelajaran yang membosankan, tidak menarik perhatian dan tidka
mempunyai objektif yang jelas. Faktor ini menyebabkan wujudnya murid
bermasalah. Seterusnya keadaan fizikal sekoalah yang padat, panas dan bising
menyebabkan murid menunjukkan tingkah laku yang negatif.
3.0 TINGKAH LAKU
BERMASALAH
3.1 Ciri-ciri dan jenis-jenis Tingkah Laku Bermasalah
Dalam
konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah
laku yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Kajian terhadap
masalah murid sekolah ini membawa kepada dua pecahan utama tingkah laku murid
bermasalah iaitu, positif dan negatif. Tingkah laku bermasalah positif yang
dikenal pasti seperti perlakuan ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan
proaktif. Manakala untuk tingkah laku bermasalah negatif pula ialah perlakuan
distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku
mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan.Sama ada
seseorang murid itu mempunyai masalah bertingkah laku positif dan negatif, ia
akan membawa kesan yang tidak baik dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
di dalam bilik darjah.
Oleh yang demikian, guru haruslah
mengambil tahu dan segera merancang dan melaksana strategi dan tindakan yang
sesuai untuk mengubah tingkah laku yang negatif itu. Hal ini sangat penting
demi menjamin dan mengawal keadaan bilik darjah yang kondusif dan
mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Secara
umumnya masalah tingkah laku atau disiplin bagi murid-murid masalah
pembelajaran mempunyai ciri-ciri tertentu. Antara ciri-ciri yang ada pada
murid-murid yang bermasalah tingkah laku ialah penumpuan yang singkat, memencil
dan menarik diri daripada aktiviti kelas, terlalu bergantung kepada seseorang,
tidak mesra dengan guru dan orang lain, gopoh dan tidak sabar, motivasi kendiri
rendah, agresif, melanggar perintah, sentiasa mempunyai perasaan negative,
memberi jawapan sesuka hati, kurang kemahiran mengawal emosi, perlakuan
hiperaktif dan sering resah serta kurang kepercayaan terhadap kebolehan
diri.Masalah tersebut secara umumnya telah dipengaruhi oleh beberapa faktor.
Antara faktor yang mempengaruhi pengurusan tingkah laku dan disiplin di dalam
kelas seperti kedudukan tempat duduk murid yang jauh dari guru. Susun atur peralatan
seperti meja, kerusi, almari memainkan peranan penting dalam mewujudkan kelas
yang kondusif dan mempunyai ruang untuk murid dan guru bergerak. Selain itu,
alat bahan mengajar yang dipamerkan hendaklah sentiasa ditukar.
3.1.1 Tingkah Laku Positif
Tingkah laku positif merupakan tingkah
laku kanak-kanak merupakan tingkah laku yang baik untuk perkembangan mereka
kerana dengan adanya tingkah laku ini, kanak-kanak akan lebih bersemangat untuk
melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sikap ingin tahu
kanak-kanak akan membantu guru dalam meransang pemikiran kanak-kanak dan
penting dalam perkembangan kognitif mereka. Dengan sikap ingin tahu kanak-kanak
ini, guru dapat membina aktiviti yang lebih melibatkan penerokaan kerana pada
tahap ini, kanak-kanak akan suka pada aktiviti seperti ini.
Kanak-kanak
yang cepat belajar juga merupakan tingkah laku yang positif kerana akan
memudahkan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini
kerana, guru tidak perlu melakukan proses pemulihan sekiranya kanak-kanak cepat
belajar. Guru Cuma perlu fikirkan aktiviti pengayaan uantuk kanak-kanak
tersebut. Kanak-kanak yang proaktif juga merupakan tingkah laku positif.
Kanak-kanak proaktif berbeza dengan kanak-kanak hyperaktif. Ini kerana
kanak-kanak proaktif merupakan kanak-kanak yang suka melibatkan diri pada
aktiviti, suka bermain dan lebih mudah dikawal oleh guru. Kanak-kanak pintar
cerdas jarang dijumpai namun jika terdapat kanak-kanak seperti ini, guru harus
pandai memberikan aktiviti yang menarik agar mereka tidak mudah bosan.
Tingkah laku bermasalah
positif merangkumi :-
- Tingkah
laku ingin tahu – sikap ingin tahu
yang tinggi terhadap sesuatu perkara yang dilihat
-
Tingkah
laku cepat belajar – cepat menangkap
atau ‘ catch up ‘ sesuatu perkara yang baru dipelajari, dapat mempelajari
sesuatu yang baru dengan cepat
- Tingkah
laku pintar cerdas – sentiasa cepat
dan pantas apabila menggunakan otak dan berfikir
-
Tingkah
laku proaktif – sentiasa menunjukkan
kesungguhan atau sikap maju ke depan berbanding kawan-kawan yang lain
3.1.2 Tingkah Laku Negatif
Tingkah laku negatif pula merupakan
tingkah laku yang mampu memberikan masalah dan mengganggu proses pengajaran dan
pembelajaran dalam kelas. Ini kerana tingkah laku negatif bukan sahaja
kanak-kanak yang suka mengganggu rakan lain malah kanak-kanak yang seriang
memberontak dalam kelas merupakan contoh kanak-kanak yang mempunyai tingkah
laku negatif. Tingkah laku distruktif merupakan tingkah laku kanak-kanak iaitu permusuhan nyata iaitu
kanak-kanak yang sering menunjukkan tingkah laku fisikal atau pun lisan yang
bertujuan menyakiti seseorang. Contohnya, seorang murid sedang beratur untuk
dapatkan makanan tiba-tiba seorang murid yang lain, memotong barisan tersebut.
Selain itu juga, vandalisme juga
merupakan ciri-ciri tingkah laku distruktif.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku distruptif pula,
kanak-kanak ini biasanya mempunyai ciri-ciri hyperaktif, suka membuat bising
dan agresif. Kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku distruptif merupakan
kanak-kanak yang suka bergerak, suka ketawa dengan kuat dan sering menunjukkan
tingkah laku agresif kepada rakan-rakan yang lain. Tingkah laku bergantungan
pula merupakan kanak-kanak yang sering mengalami emosi kebimbangan,
pergantungan berlebihan dan mempunyai nilai kendiri yang rendah. Kanak-kanak
ini biasanya sering bergantung pada orang lain dalam apa juga aktiviti yang
dijalankan. Kanak-kanak yang terlalu pemalu juga merupakan kanak-kanak yang
mempunyai tingkah laku pergantungan.
Rajah
2: Jenis-jenis tingkah laku bermasalah negatif
Tingkah laku bermasalah negatif
merangkumi :-
Tingkah
laku yang menghalang (
bergantung ) : Tingkah laku ini merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan
diri.
- Kebimbangan
– sentiasa berasa takut, menunjukkan reaksi bimbang, tiada keyakinan diri.
- Pergantungan
lebihan – terlalu mengharapkan pertolongan atau bantuan dari orang lain
terutama ibu bapa atau orang yang rapat dengannya, terlalu manja, tidak boleh
berdikari
- Pengunduran
diri – malu untuk menunjukkan kebolehan, teragak-agak memberi pendapat atau
idea, tidak yakin pada kebolehan diri, sering menggangap orang lebih baik dari
dirinya
- Pengasingan
diri – tidak suka bergaul atau berkomunikasi dengan kawan-kawan, sikap rendah
diri yang terlalu tinggi, perasaan malu pada kawan-kawan
Tingkah laku yang mengganggu ( disruptif ) : Tingkah laku ini merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan orang lain.
- Hiperaktif
– kelakuan atau bertingkah laku yang tersangat agresif
- Kelakuan
nakal – suka menggangu kawan-kawan, membuli atau menyakat kawan-kawan sekelas.
- Bising
– menganggu ketenteraman bilik darjah, banyak bercakap .
- Bergerak
sesuka hati – suka keluar masuk kelas tanpa kebenaran, berjalan-jalan di dalam
kelas semasa sesi pembelajaran berlaku, melakukan aktiviti yang disukai
bila-bila masa.
- Ketawa
kuat – ketawa dengan suara yang nyaring dan kuat tanpa menghiraukan orang yang
berada di sekelilingnya
- Agresif secara lisan / fizikal – menggunakan kata-kata kasar, lucah, kurang ajar, tidak sopan.
Tingkah laku anti sosial ( distruktif ) : Tingkah laku ini merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan diri, sekolah dan masyarakat.
-
Permusuhan
nyata – suka bergaduh, berlawan, bertumbuk, mencari pasal dengan mana-mana
murid terutama rakan sebaya.
- Vandalisme
– suka merosakkan harta benda awam seperti menconteng dinding menggunakan pen,
pensil, marker atau tapak kaki, mematahkan alat pengepam tandas, memecahkan
kerusi atau meja di dalam bilik darjah, menggores atau menconteng meja.
- Kumpulan
liar – terlibat dengan kumpulan tidak bermoral
- Klik –
mempunyai hubungan dengan beberapa orang yang
mempunyai perangai atau tabiat yang sama tetapi lebih kepada tingkah
laku tidak baik
- Geng –
menubuhkan kumpulan tertentu di dalam sekolah, kumpulan yang ditakuti atau
digeruni oleh murid-murid lain, bertindak membuli atau menakut-nakutkan
murid-murid lain.
4.0 KEPENTINGAN MENGURUS TINGKAH LAKU
Tingkah laku terpuji penting bagi
melahirkan pelajar yang bersifat sanggup melaksanakan tanggungjawab pada diri,
keluarga, institusi dan Negara. Tanpa tingkah laku terpuji dalam diri pelajar
tidak mungkin mereka sanggup melaksanakan tanggungjawab diri sebdiri. Mereka
lebih rela melakukan kesalahan berbanding melakukan perbuatan baik kerana bagi
mereka, tiada faedahnya mereka melakukan kebaikan.
Tingkah laku terpuji penting bagi
mewujudkan suasana tenang dan kondusif dalam bilik darjah supaya proses pengajaran
dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan licin, berkesan, dan penuh ceria.
Apabila pelajar yang bermasalah daripada segi disiplin ini tidak wujud dalam
kelas, tidak ada pelajar yang membuat bising dan mengganggu pelajar lain
belajar.
Guru juga tidak perlu meninggikan suara
ataupun bercakap kasar dengan pelajar disebabakan berbagai-bagai masalah
sebalaiknya pelajar sendiri sudah memahami peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan. Justeru, hubungan antara guru dan pelajar dapat diperbaiki dan kemesraan
dapat diwujudkan, di sadapat berubah.mping minat bagi menimba ilmu dapat
dipertingkatkan.
Para pelajar menjadi lebih tekun dan
produktif apabila mereka mempunyai tingkah laku terpuji. Apabila mereka
mengikut didiplin yang telah ditetapkan, jadual mereka dan tingkah laku mereka
dapat berubah. Mereka dapat melakukan sesuatu perkara secara sistematik dan
mengikut laluan yang betul tanpa menyalahi undang-undang. Mereka dapat menjadi
lebih produktif lagi dalam menghasilkan idea yang menarik dalam pelbagai bidang
terutamanya dalam bidang kemahiran.
Masa dapat dijimatkan kerana segala
tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat. Disiplin diri
yang tinggi membentuk mereka menepati masa dan tidak membuang masa dengan
perkara-perkara yang tidak perlu dilakukan. Sebagaimana yang kita tahu, pelajar
kini lebih banyak melakukan tingkah laku bermasalah sehingga hilang pegangan
dan hala tuju.
Pembangunan tingkah laku terpuji yang
tinggi dalam kalangan pelajar mampu melatih pelajar dengan dengan nilai-nilai
murni seperti kepatuhan, tanggungjawab, kasih saying, berkerjasama, cintakan
kebersihan dan hormat menghormati. Oleh itu, dengan mematuhi disiplin, pelajar
sentiasa ingat dan menanamkan sifat-sifat yang baik dalam diri dan membuang
sifat-sifat negatif yang tidak perlu ada dalam diri mereka.
5.0 KESIMPULAN
Kebelakangan
ini tingkah laku bermasalah menjadi topik perbincangan di kalangan masyarakat umum. Nampaknya
tingkah laku bermasalah boleh menyebabkan ketidakseimbangan di antara emosi dan
aktiviti kehidupan seharian individu. Tingkah laku bermasalah juga memberi
kesan yang buruk dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Umumnya
, sekolah rendah merupakan tapak utama asas pendidikan. Dari sini, kanak-kanak
dibentuk mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia. Guru memainkan peranan utama
membentuk keperibadian tingkah laku murid-murid semasa berada di sekolah.
Selain dari tanggungjawab ibu bapa, guru adalah orang yang penting dalam
menghasilkan insan yang sempurna dalam pendidikan. Dengan bertambahnya bilangan
anggota masyarakat yang berpendidikan moden, sikap yang tidak mementingkan
kanak-kanak ini telah beransur berubah.
Kanak-kanak pada hari ini telah diberikan
perhatian serius secara keseluruhan dari segi emosi, jasmani dan rohani. Ibu
bapa sudah mula pandai melayan pertanyaan anak-anak, membawa mereka makan
bersama, berbincang serta memberi peluang kepada anak-anak memberi pendapat dan
pandangan dan memberi mereka kebebasan memilih atau membuat keputusan asalkan
tidak memudaratkan diri dan keluarga. Perkembangan sikap ini telah memberikan
kesan positif dalam dunia kehidupan kanak-kanak supaya ia dapat menghasilkan
satu generasi yang lebih aktif, berani dan mahu tampil ke hadapan untuk
bertanding lebih gigih dalam kehidupan masyarakat.
Masalah tingkah laku sememangnya sering
dihadapi oleh guru-guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
Bukannya mudah untuk menguruskan masalah tingkah laku di kalangan murid-murid.
Adakalanya ia dapat dikawal dan ada kalanya ianya seperti barah yang boleh
menyebabkan lumpuhnya proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Yang pasti, tanggungjawab seorang guru di sekolah amat
berat sekali. Bak kata pepatah “ Berat mata memandang, berat lagi bahu
yang memikul “. Itulah hakikat tugas seorang guru di sekolah. Apabila
berlaku salah laku di kalangan murid-murid, maka guru akan dipersalahkan dan
jari dituding ke arah guru.
Sebenarnya
kadangkala keadaan dan suasana sekolah juga menimbulkan keadaan yang tidak
selesa dan menyebabkan tingkah laku bermasalah. Kelas yang terlalu ramai, alat
kelengkapan yang tidak mencukupi, suasana di dalam kelas yang tidak teraputik,
alat bantu mengajar yang tidak cukup, gangguan dari luar dan keadaan sekolah
yang tidak sempurna dari segi kemudahan asas. Kesemuanya ini boleh menimbulkan
kegelisahan dan menganggu kelancaran perjalanan kelas.
Oleh
itu, pendapat-pendapat dan kajian dari beberapa tokoh terkenal boleh dijadikan
sebagai bahan rujukan oleh pihak sekolah bagi merancang strategi-strategi untuk
meningkatkan lagi keberkesanan mengatasi tingkah laku bermasalah dan prestasi
murid-murid dan akademik di sekolah.
Sebagai
ibu bapa, kita mestilah menjaga keselamatan dan jaminan kehidupan sempurna
kepada anak-anak. Ibu bapa mesti memberikan kasih sayang dan perhatian selain
dari wang ringgit dan keperluan asas mereka.
Ibu
bapa juga perlu memberi peluang atau kebebasan kepada anak-anak untuk memilih
apa yang mereka suka, mendengar penjelasan dan pendapat serta memberi sokongan
tentang perkara-perkara yang mereka minati. Ibu bapa juga perlu mengamalkan
sikap memberi ganjaran atau peneguhan setiap kali anak-anak berjaya. Sentiasa
memberi galakan dan motivasi.
Oleh
demikian, tingkah laku bermasalah harus ditangani oleh guru dengan bijak dan
teratur agar ia tidak membantutkan atau menganggu proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah. Melalui keberkesanan sistem pembelajaran
yang berkesan akan mempercepatkan perkembangan pembelajaran murid-murid di sekolah.
Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder
Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI Psikologi. Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2011). Nota
Intisari Ilmu Pendidikan Psikologi Pendidikan. Puchong:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2012). Pengurusan Bilik Darjah
dan Tingkah Laku. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Rohaty Mohd. Majzub (1992). Psikologi
Perkembangan Untuk Bakal Guru. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Shahabuddin Hashim, Dr Rohizani
& Mohd. Zohir. (2003). Pedagogi :
Strategi dan Teknik
Mengajar dengan Berkesan. Pahang: PTS Publications &
Distributors Sdn.
Bhd.
Sulaiman Ngah Razali. 1997. Pedagogi: Teori dan Praktik. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Disediakan oleh:
Mohamad Faizal bin Zakri
faizalzakri@yahoo.com